KUALA LUMPUR - Malaysia perlu bertegas dalam menangani krisis kemanusiaan etnik Rohingya termasuk menggesa masyarakat antarabangsa khususnya komuniti Asean untuk mengenakan tekanan diplomatik ke atas Myanmar, kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab. Rahim.

Menyuarakan pendapat itu, beliau berkata 'Report of the Independent International Fact-Finding Mission on Myanmar' yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan berlaku pencabulan hak asasi manusia terhadap etnik Rohingya terutamanya di Rakhine.

“Apa yang lebih menyayat hati, laporan tersebut turut mendedahkan berlakunya penyeksaan dan penghambaan seksual ke atas wanita Rohingya yang mana jelas melangkaui batas manusiawi yang rasional.

“Kekejaman tersebut berlaku di samping kejadian lain yang telah dilaporkan seperti pembunuhan, penculikan serta pengusiran etnik Rohingya keluar dari kampung halaman mereka,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Abim berpendapat Malaysia perlu memberikan tekanan ekonomi terhadap Myanmar seperti mengurangkan perdagangan import dan eksport antara kedua-dua negara serta mengawal kemasukan tenaga kerja asing dari negara berkenaan.

ABIM juga berharap tekanan diplomatik ke atas kerajaan Myanmar dapat mengembalikan hak etnik Rohingya sebagai warganegara yang bermaruah kerana langkah itu dapat membuka jalan kepada penyelesaian konflik dan membawa keamanan yang berpanjangan.

Menurut kenyataan itu, walaupun keberadaan Myanmar dalam Asean amat diperlukan dan dihormati, namun tragedi kemanusiaan yang berlaku adalah bertentangan dengan nilai-nilai murni seperti kebebasan dan keadilan yang dijadikan asas utama untuk membentuk rantau serta komuniti Asean yang sejahtera.- Bernama