KUALA LUMPUR - Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Hanafi dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu berkuat kuasa Jumaat lepas. 

Beliau menggantikan Datuk Ayub Yaakob yang dilantik sebagai Ketua Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bukit Aman khusus dalam menangani isu-isu keselamatan negara, demikian menurut kenyataan Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN)(Perhubungan Awam) Bukit Aman, ACP Ramli Mohamed Yoosuf di sini hari ini. 

Ramli berkata Timbalan Ketua Urus Setia KPN (Agama & Kaunseling) Bukit Aman, Datuk Dr Hasim Haron dilantik memegang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor (JSJ), menggantikan Datuk Amer Awal yang bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah (II) (Pentadbiran) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA). 

Tempat Dr Hasim digantikan oleh Ketua JSJ Pulau Pinang, SAC Zahruddin Abdullah, manakala tempat Zahruddin disandang Penolong Pengarah Latihan(Peperiksaan/PTK), Bahagian Latihan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, ACP Mazlan Kesah dengan memangku pangkat SAC. 

Tempat Mazlan diganti Supt Ooi Kee Lin dari Unit Pengajian Sains Forensik, Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan memangku pangkat ACP, katanya.

Ramli berkata Ketua Polis Daerah (KPD) Dang Wangi, ACP Mohamad Zulkarnain Abd Rahman bertukar jawatan dengan Ketua Penolong Pengarah (D3) Naziran JSJ, Bukit Aman, ACP Zainuddin Ahmad manakala ACP Siasatan, JSJ  Komersial Bukit Aman, ACP Wong Lai Loong dinaikkan ke jawatan Ketua Penolong Pengarah Siasatan (Siber/Multimedia) JSJ Komersial Bukit Aman dengan memangku jawatan SAC. 

Ketua Penolong Pengarah (Urus Setia), Jabatan KDN/KA, Bukit Aman, ACP Abdul Rahman Ibrahim bertukar jawatan dengan KPD Seberang Prai Utara, ACP Zulkifli Alias dan KPD Kota Kinabalu, Sabah, ACP Ahmad Sofi Zakaria bertukar ke Seksyen Pengurusan Kualiti (2), Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), Bukit Aman dan tempatnya digantikan oleh Ketua JSJ Komersial, Sabah Supt Jauteh Dikun dengan memangku pangkat ACP.    

Beliau berkata KPD Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Supt Jaafar Baba bertukar ke Perak sebagai Ketua Polis Daerah Manjong, dengan memangku jawatan ACP, manakala Pegawai Turus Risik/ Gerakan Unit 69 Komando, Pegawai Turus Latihan (PGK), Bukit Aman, Supt Fisol Salleh ke PGK Pasukan Gerakan Khas Bukit Aman dengan memangku jawatan ACP. 

Penolong Pengarah Logistik (Operasi /Teknikal) Unit C4i, Bahagian Komunikasi, Jabatan Logistik Bukit Aman, Supt Suhaimi Ismail memegang jawatan Penolong Pengarah Komunikasi (Rmpnet) Bahagian Komunikasi, Jabatan Logistik, Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP. 

Ketua Jabatan Pengurusan Perak, ACP Zulkapli Ahmad kekal di jawatan asal dengan dinaikkan pangkat memangku jawatan SAC, katanya. 

Turut dinaikkan pangkat memangku jawatan ACP ialah Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Perak, Supt Abd Ghaffar Muhamad, Pegawai Kebajikan Pasukan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Supt Sharifah Hawariah Syed Idrus, Ketua Polis Daerah Serdang, Selangor, Supt Abd Razak Elias dan Ketua Polis daerah Klang Utara, Selangor, Supt Mohamad Shukor Sulong. - Bernama