BENTONG - Kira-kira 98 buah negara mengesahkan kehadiran ke Persidangan Koperasi Global akan diadakan di negara ini pada 13 hingga 18 November ini yang merupakan pencapaian dan pengiktirafan buat koperasi negara.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, buat julung kali juga persidangan ini akan mengadakan karnival produk dan perkhidmatan koperasi Malaysia yang disasarkan menjana transaksi sebanyak RM200 juta.

Menurutnya, persidangan yang akan diadakan di Hotel Sunway Resort dan Spa itu dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 November.

"Kita bertuah kerana terpilih sebagai tuan rumah buat julung kali dalam persidangan peringkat dunia yang mula diadakan pada 1895 ini yang sekali gus menunjukkan pengiktirafan dunia kepada perkembangan sektor koperasi di Malaysia.

"Kita juga berbangga kerana bukan sahaja menjadi negara Islam kedua menjadi tuan rumah selepas Turki pada 2015 tetapi penyertaan kali ini juga lebih tinggi berbanding di Turki yang merekodkan penyertaan 75 buah negara,"katanya pada sidang media  selepas majlis perasmian bangunan infaq lil-waqaf Angkasa di Dataran Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.

Turut hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Syariah dan Pembangunan Angkasa, Azhar Hamzah; Pegawai Agama Islam daerah, Rasmawi Harun; Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Datuk Abdul Aziz Abdullah dan Imam Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Bentong, Abu Zarghafar Hamzah.

Datuk Abdul Fattah, persidangan dua tahun sekali itu akan melibatkan kira-kira 1,700 perwakilan dari seluruh negara termasuk tetamu kenamaan.

Menurutnya, antara negara yang menyertai persidangan tersebut ialah Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea, Itali, Rusia dan banyak lagi negara di seluruh dunia.

"Persidangan ini yang akan mengetengahkan resolusi bagi memperkasakan sektor koperasi mempunyai 34 kertas kerja yang akan dibentangkan meliputi pelbagai isu seperti ekonomi, alam sekitar dan politik antarabangsa,"katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sempena persidangan ini Malaysia akan membangkitkan isu minyak kelapa sawit yang kononnya didakwa sesetengah pihak tidak selamat dan merosakkan alam sekitar.

Tambahnya, penjelasan akan dibuat bagi menangani isu ini dan penekanan kepada pentingnya kelapa sawit dalam pembangunan ekonomi negara dan masyarakat setempat.