KOTA BHARU - Enam resolusi dipersetujui melalui persidangan meja bulat badan bukan kerajaan (NGO) yang menuntut royalti minyak Kelantan dibuat segera oleh Kerajaan Pusat.

Pengarah Persidangan Meja Bulat NGO-NGO Royalti, Abu Samah Hasan berkata, melalui sidang meja bulat yang dihadiri dua wakil setiap 58 NGO yang menuntut royalti, enam perkara diambil perhatian.

“Kami menggesa Kerajaan Negeri menolak cadangan penubuhan jawatankuasa bayaran tunai yang dicadangkan Kerajaan Persekutuan kerana ia lebih kepada tipu helah (muslihat) politik.

“Keduanya, tidak perlu ada jawatankuasa bayaran tunai kepada Kerajaan Negeri berdasarkan perjanjian antara negeri Kelantan dengan Petronas pada 1975,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, antara resolusi lain yang dipersetujui ialah Petronas perlu segera membuat bayaran tunai terus kepada kerajaan Negeri daripada pengeluaran gas dan minyak dengan segera dalam tempoh 30 hari (sebelum atau selewat-lewatnya 11 September 2012).

Menurutnya, NGO-NGO itu juga mahu menolak dan mengecam pencabulan Kerajaan Malaysia terhadap perjanjian antara Kerajaan Kelantan dengan Petronas pada 9 Mei 1975.

“Resolusi kelima pula menyatakan persetujuan NGO yang bersidang memberikan komitmen padu bagi melanjutkan penerangan dan mengadakan program susulan kepada semua ahli NGO dan rakyat negeri ini.

“Resolusi keenam mendesak Kerajaan Malaysia dan Petronas menghormati dan menjunjung titah Sultan Kelantan bagi mendaratkan minyak dan gas ke Kelantan,” katanya.

Abu Samah yang juga Timbalan Presiden Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) atau mesra dipanggil ‘R” berkata, resolusi itu akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kata beliau, jika resolusi tersebut tidak diambil perhatian, pihaknya akan mengadakan konvoi tuntutan ke Putrajaya, selain mengadakan beberapa program termasuk Solat Hajat dan Munajat Royalti pada 23 Ogos nanti.

“Selain itu, pihak kami juga bercadang melantik pihak luar negara yang pakar dalam tuntutan terbengkalai bagi membolehkan hak rakyat Kelantan diperoleh.

“Tuntutan royalti bukan hanya untuk kaum Melayu sahaja, sebaliknya ia melibatkan pelbagai bangsa termasuk Cina dan India,” katanya.

Beliau berkata, bagi membolehkan rakyat memahami sebab mereka perlu menuntut royalti, wacana dan kuiz akan dikembangkan bagi mendidik mereka.

Katanya, media baru seperti Twitter, Facebook, Wassup digunakan selain wakil bolgger hadir pada persidangan bagi menguar-uarkan untuk memberikan maklumat yang tepat kepada rakyat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.