ISKANDAR PUTERI - Seramai 56 Adun Johor mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama (Memilih Speaker, Mengangkat Sumpah Ahli-Ahli Dewan Negeri dan Memilih Timbalan Speaker) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-14, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Kesemua mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dun Johor yang baharu dilantik, Suhaizan Kaiat.

Majlis angkat sumpah itu didahului Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang juga Adun Kempas.

Kemudiannya majlis angkat sumpah diteruskan dengan 10 barisan exco kerajaan negeri sebelum diikuti Adun Johor lain.

Osman (dua, kiri) bersalam dengan Ketua Umno Bahagian Pontian, Datuk Ir Hasni Mohamad (kiri) yang merupakan ketua pembangkang mewakili BN pada penggal kali ini.

Sebelum itu, Suhaizan yang merupakan Setiausaha Organisasi Amanah dan Naib Pengerusi Amanah Johor mengangkat sumpah sebagai Speaker Dun Johor ke-14, manakala, Adun Penggaram, Gan Peck Cheng dipilih sebagai Timbalan Speaker.

Pada PRU14 lalu, Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 36 kerusi Dun Johor, manakala BN mendapat 19 kerusi dan Pas satu kerusi.

Bagaimanapun, tiga Adun BN daripada Umbo iaitu Adun Sedili Rosleli Jahari; Adun, Endau Rasman Ithnain dan Adun Johor Lama, Alwiyah Talib kemudian mengumumkan bertindak keluar Umno dan serta BN pada 12 Mei dengan menjadi Adun Bebas.