KOTA BHARU – Kerajaan memerlukan kira-kira 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2020 bagi merancakkan lagi aktiviti pembangunan dan kemajuan negara pada masa akan datang.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Zaihan Shukri berkata, pelbagai usaha dirancang agensi berkenaan untuk meningkatkan peratus pekerja mahir negara sebagai persediaan menghadapi Revolusi Industri 4.0.

“Revolusi Industri 4.0 ini akan menyebabkan sebahagian pekerjaan yang ada hari ini akan dijumudkan kewujudannya dan seterusnya akan mewujudkan pekerjaan baru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Kreativiti, Inovasi dan Teknologi (KRISTEK’18) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah ILP Kota Bharu Zainudin Ahmad; Pengarah ILP Kuala Terengganu Faizah Harun; Pengarah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Kemaman Abdul Halim Abdul Rahman dan Pengarah Adtec Jerantut, Pahang Zuraini Muda.

Menurutnya, pelajar dalam bidang kemahiran serta teknikal dan vokasional disyorkan sentiasa meneroka kemahiran dan ilmu baharu yang relevan dengan revolusi tersebut.

“Ilmu seperti Teknologi Robotik, ‘Internet of Things (IoT)’, ‘Additive and Intelligent Manufacturing’ dan ‘Cloud System’ perlu diceburi supaya pelajar terus kekal relevan dengan keperluan industri,” katanya.

Sementara itu, Zainudin berkata, 45 projek dipertandingkan sepanjang pertandingan yang diadakan selama dua hari berakhir hari ini.

“Bidang yang dipertandingkan adalah Elektrikal, Elektronik, ICT, Mekanikal, Sivil dan Arkitek serta Pengajaran dan Pembelajaran dengan melibatkan 180 peserta.

“Pertandingan KRISTEK’18 ini diadakan bagi menyahut dasar kerajaan untuk menggalakkan elemen-elemen reka cipta menerusi kreativiti dalam Pengajaran dan Pembelajaran,” katanya. - Bernama