SHAH ALAM - Tokoh korporat negara, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Pelaburan & Kewangan manakala Setiausah Agung Assosiation of Arab Universities, Prof Dr Sultan Abu Orabi menerima Ijazah Doktor Kehormat Kepimpinan & Pengurusan Pendidikan pada Majlis Konvokesyen Management & Science University (MSU) ke-22.

Ijazah kehormat itu disampaikan Pro-Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin sempena pembukaan sidang pertama majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Canselor MSU, hari ini.

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, sepanjang lebih tiga dekad lalu, MSU yang juga antara universiti terbaik di Malaysia telah memperolehi pelbagai pengiktirafan samada dari dalam mahupun luar negara.

"Antaranya ialah "Excellent Status University, Tier 5" dan "The Most Entrepreneurial Private University" oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM), "BrandLaureate Best Brand in Education for Leadership and Human Capital Delevopment", "Putra Brand Award 2017", universiti ke-217 terbaik dalam QS Asia Ranking 2018 selain mendapat penarafan lima bintang dalam QS 2016 bagi pengajaran, kebolehpasaran, kemudahan, tanggungjawab sosial dan inklusif.

"MSU juga telah mendapat akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta badan antarabangsa seperti United Kingdom, Sri Lanka, Maldives dan Brunei selain menjadi universiti pertama bukan dari Jepun mendapat pengiktirafan The Alliance on Business Education and Scholarship for Tomorrow (ABEST21), Jepun.

"Malah, kajian pengesanan graduan KPTM turut menyaksikan tahap kebolehpasaran graduan MSU berada pada tahap 98.5 peratus, iaitu tertinggi di kalangan institusi pendidikan tinggi di Malaysia," katanya pada majlis sama.

Majlis Konvokesyen MSU ke-22 itu menyaksikan seramai 2003 graduan berjaya menamatkan pengajian pada peringkat pasca siswazah, ijazah sarjana muda dan diploma.

Lima kategori anugerah khas graduan cemerlang turut diberikan kepada 60 graduan atas pencapaian cemerlang mereka dalam bidang pengajian masing-masing.

Anugerah Pingat Emas Canselor diberikan kepada graduan Ijazah Kepujian Perniagaan Antarabangsa, Azrul Arifuddin manakala Anugerah Presiden pula kepada Adrianna Abdul Aziz (Ijazah Kepujian Perniagaan Antarabangsa) dan Tengku Nur Athirah Tengku Silahudeen (Diploma Seni Kulinari).

Turut diberikan ialah Mohd Shukri Yajid Outstanding Award (Mohd Hafiz Afiff Mohd Chung Choon Ted), Anugerah Akademik (36 penerima) dan Anugerah Industri (20 penerima).