SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersama Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) telah merangka beberapa strategi memastikan bekalan ikan dalam pasaran stabil.  

Pengerusi LKIM, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, melalui hasil perbincangan bersama, Nekmat sedang import ikan dari Bangladesh, Sri Lanka, dan Pakistan.

"Dijangkakan 20 metrik tan ikan import akan tiba pada minggu ini, di samping bekalan yang ada pada Nekmat kini mencecah 40 metrik tan. Ia kebanyakannya daripada spesies kembong, pelaling dan cencaru. 

"Saya telah meminta Nekmat untuk lambakkan ikan segar beku ini di pasar tani yang ada kerana fokus kami supaya rakyat boleh beli pada harga mampu milik," katanya ketika ditemui media selepas Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) Majlis Belia Selangor ke 34, di sini, hari ini.

Pada awal Januari lalu, media melaporkan pengguna di kawasan utara Semenanjung berdepan kenaikan harga ikan yang tinggi ekoran kekurangan hasil tangkapan disebabkan cuaca tidak menentu.

"Saya jangkakan bekalan ikan kembali stabil dari segi pendaratan di Kompleks LKIM dan jeti pada April nanti, kerana fenomena ini difahamkan berterusan hingga akhir Mac mengikut jangkaan nelayan," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha memantau bekalan ikan juga, LKIM akan melanjutkan tempoh larangan pengeksportan ikan yang bermula sejak 1 Disember lalu, terutama kepada ikan rakyat, seperti kembong, selar, dan sebaginya kepada akhir Februari. 

"Saya juga akan meminta  pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) memaklumkan pada pihak LKIM sekiranya ada pihak yang tidak mengikut arahan ini.

"Tindakan tegas akan diambil termasuk di hadapkan ke muka pengadilan kerana yang paling penting rakyat harus mendapat ikan khususnya dalam keadaan stabil," katanya.

Katanya dalam melindungi pengguna, beliau akan mengusulkan satu peruntukan undang-undang kepada KPDNKK dalam memastikan gejala orang tengah dapat dikurangkan.

"Saya berharap pada sidang parlimen nanti, pihak KPDNKK boleh mengusulkan satu rang undang-undang menangani orang tengah dalam melindungi pengguna," katanya.