SHAH ALAM - Syarikat terpalit kontroversi, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini menafikan dakwaan media asing kononnya ada sejumlah wang tertentu yang disalurkan dari akaun berkaitan ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 
 
"Ia adalah sangat tidak bertanggungjawab dan satu percubaan yang sengaja untuk melemahkan syarikat," tegas 1MDB menerusi satu kenyataan. 
 
Akhbar kewangan antarabangsa, Wall Street Journal (WSJ) dalam laporannya mendedahkan apa yang dikatakan sebagai penemuan oleh penyiasat Malaysia kononnya telah mengesan hampir AS$700 juta didepositkan ke dalam apa yang mereka percaya akaun bank peribadi Najib.
 
Laporan itu berdasarkan dokumen-dokumen dari satu siasatan kerajaan, yang telah diperolehi oleh akhbar kewangan antarabangsa itu dan laman web Sarawak Report.
 
1MDB dalam reaksinya berkata, dokumen-dokumen ini yang dilaporkan kemungkinan telah diganggu dan digunakan oleh individu bagi tujuan memeras ugut sebuah syarikat antarabangsa baru-baru ini tidak boleh dijadikan sandaran dalam menyabitkan 1MDB dalam isu terbaharu ini. 
 
"Kami terkejut bahawa dokumen seperti ini, yang mana kewujudannya dan kesahihan belum disahkan secara terbuka, terus digunakan sebagai asas untuk membuat tuduhan tidak berasas terhadap 1MDB.
 
"1MDB kini sedang bekerjasama dengan beberapa pihak berkuasa yang sah termasuk Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Bank Negara. Pihak berkuasa yang mempunyai semua maklumat yang berkaitan, dan kami meminta semua pihak menunggu hasil penemuan mereka sebelum membuat dakwaan lanjut dan terburu-buru membuat penghakiman," ujar kenyataan itu lagi. 
 
Bulan lalu, seorang bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo ditahan polis Thailand kerana melakukan peras ugut bekas majikannya, PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi).
 
Data-data yang dicuri Justo yang didakwa telah diubah sebelum ini digunakan oleh blog Sarawak Report dalam laporannya.