PUTRAJAYA - Sebanyak 16 sesi taklimat dan soal jawab mengenai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dianjurkan Kementerian Kewangan dengan kerjasama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) di seluruh negara, setakat ini.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata sesi taklimat SST itu juga berjaya menarik lebih 13,000 peserta dari pelbagai sektor industri dalam negara.

“Usaha ini juga membuahkan hasil di mana pihak berkepentingan dari sektor perdagangan dan industri memberi maklum balas serta rayuan mengenai pengecualian SST ataupun pengurangan kadar cukai jualan untuk pelbagai barangan," katanya.

Hasil maklum balas dan rayuan itu katanya, Kementerian dan JKDM membuat keputusan mengecualikan beberapa barangan daripada dikenakan SST serta menyemak semula kadar cukai jualan ke atas barangan terpilih.

“Perubahan ini diharap dapat menambah baik kesejahteraan rakyat selari aspirasi Kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Terkini, menurut Lim, kerajaan memutuskan untuk mengecualikan SST terhadap barangan membabitkan kad prabayar untuk telefon bimbit yang digunakan rakyat Malaysia, kacang tanah, komponen pemasangan tempatan (CKD) import oleh pemasang kereta francais tempatan, ikan masin, ikan pekasam, ikan jeruk dan ikan masam serta makanan laut di dalam kategori crustacean dan mollusk HS code.

Selain itu, turut dikecualikan adalah piuter, bag plastik untuk pembungkusan beras, rokok dan produk tembakau yang dijual di restoran, sewa ruang pejabat di dalam restoran serta kapal, feri dan bot.

Lim berkata, kerajaan juga membuat semakan semula kadar cukai jualan daripada 10 peratus kepada lima peratus ke atas barangan kosmetik, produk kecantikan dan penjagaan kulit, aksesori telefon bimbit, jam, tayar celup, tayar dan tiub motorsikal.

Dalam pada itu, kelonggaran tambahan juga diberikan dengan mengeluarkan hasil jualan rokok, kertas tisu dan sewaan daripada warung kecil daripada dimasukkan ke dalam pengiraan nilai ambang restoran dan kedai kopi. -Bernama