IPOH – Setelah sekian lama dikenali dengan nama Stadium Perak, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mengambil keputusan untuk memberi 'nama baru' kepada stadium negeri ini yang turut dilihat sebagai signifikan dengan proses penjenamaan semula Pafa.

Timbalan Presiden Pafa merangkap Pengurus skuad Liga Super Perak, Khairul Azwan Harun berkata, idea pemberian nama baru itu diharap dapat membantu meningkatkan lagi imej Perak dalam kancah saingan bola sepak tempatan.

"Kita telah memikirkan nama baru bagi Stadium Perak. Namun ia belum dapat diumumkan buat masa ini dan sebarang perkembangan terkini mengenainya akan kita maklumkan kemudian," katanya pada sidang media sempena pelancaran jersi baru Perak keluaran Pafa Sports di Bangunan Pafa, baru-baru ini.

Majlis berkenaan turut menyaksikan seorang penyokong bertuah menerima diskaun 20 peratus bagi pembelian jersi jenama Kappa itu kerana menjadi pembeli pertama.

Sementara itu, Khairul Azwan memaklumkan, proses penyelenggaraan lampu limpah di Stadium Perak telah selesai dan skuad Kejor Yob Kejor dijangka kembali beraksi di stadium itu pada 7 Mei nanti untuk menentang Negeri Sembilan.

"Kerja-kerja penyelenggaraan untuk surau, bilik air, bilik persalinan pemain juga telah hampir siap dan dijangka dapat digunakan menjelang tarikh berkenaan.

"Berdasarkan pemeriksaan tahap pencahayaan, lampu limpah di Stadium Perak telah mencapai tahap kecerahan 2,525 lux. Ia pasti melepasi tahap piawaian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menetapkan tahap kecerahan 1,500 lux," katanya.

Sehubungan itu, Khairul Azwan berharap penyokong dapat kembali memenuhi stadium pada perlawanan menentang Negeri Sembilan bagi memberi sokongan padu kepada skuad Kejor Yob Kejor.