JEREBU teruk yang pernah melanda negara pada tahun 1997 umpama mimpi ngeri bagi rakyat Malaysia.

Setelah lebih seabad ia berlalu, jerebu kembali menjengah dan memenuhi atmosfera negara minggu lalu cukup untuk membuka kembali diari derita bencana disebabkan perbuatan manusia ini.

Mengepalai 1,200 anggota bomba ke Sumatera, Indonesia untuk memadamkan kebakaran hutan tanah gambut yang menjadi punca jerebu antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Penolong Pengarah Bahagian Latihan dan Perancangan Sumber Manusia, Ibu Pejabat Bomba Malaysia, Putrajaya. (PKPjB) Mohammad Hamdan Wahid.

Ikuti kisah pengalaman beliau bersama Ketua Meja Jenayah Sinar Harian IZWAN ROZLIN, wartawan SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR dan jurufoto AZMI ARYANTO melalui temubual khas yang diadakan di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Hamdan cerita detik sejarah  bawa 1,200 anggota padam kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia

Bagaimana keadaan jerebu yang melanda negara pada tahun 1997?

Ketika itu, bomba sentiasa pantau Indeks Pencemaran Udara (IPU) atas saranan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan melaporkannya kepada mereka. Sebelum itu, memang ada beberapa kes kebakaran hutan dan pembakaran belukar yang dibenarkan di kawasan pertanian di Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung, berlaku di beberapa tempat di Selangor dan Pahang, tetapi keadaannya tidak begitu teruk. Pada mulanya, kita sangka asap datang daripada pembakaran terbuka di negeri dan pencemaran udara. Dalam bulan Julai dan Ogos, dah nampak kesan. Tetapi saya difahamkan di Sumatera kesannya sudah dirasai sejak Mei.

Apakah peranan jabatan bomba bagi menghadapi isu jerebu pada waktu itu?

Dalam akta JAS, penguatkuasaan mereka tidak cukup. Jadi, apabila kita terima panggilan kebakaran hutan dan belukar, kita akan kenal pasti dulu puncanya. Jika memang ada individu yang sengaja buat pembakaran terbuka, kita akan serahkan kepada JAS untuk ambil tindakan.

Bila keadaan semakin teruk, JAS dapat pemantauan daripada National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA). Gambar satelit menunjukkan kebakaran bukan berpunca dari Malaysia.

Sebaliknya, titik panas ini banyak terdapat di Sumatera dan melebihi 600 tempat.

Bagaimana bomba boleh diarahkan untuk melakukan pemadaman?

Memandangkan jumlah titik panas sangat banyak, JAS telah melaporkan kepada perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad. Keadaan jerebu ketika itu sangat serius. Pada awal September, IPU di Kuching mencecah bacaan 800 sehingga diisytiharkan darurat. Dr Mahathir telah menelefon Presiden Indonesia, Suharto dan memberitahu jika benar kebakaran hutan di Indonesia disebabkan syarikat pertanian Malaysia yang membuat pembakaran terbuka, kita akan bertanggungjawab dan pergi sana memadamkan kebakaran. Suharto setuju dan PM melalui Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat minta supaya dihantar anggota bomba. Pada 21 September, saya sepatutnya menghadiri bengkel di Port Dickson. Namun, saya dapat panggilan daripada Timbalan Ketua Pengarah, Datuk Jaafar Sidek Tambi yang beritahu saya diamanahkan untuk ketuai misi ke Indonesia.

Diberi tanggungjawab yang sangat besar dan perlu bersedia dalam tempoh singkat, apa perasaan tuan ketika itu?

Saya memang langsung tidak terfikir untuk ketuai dua batalion penuh dalam operasi itu. Dalam sejarah, ini kali pertama penghantaran anggota bomba jumlah yang banyak ke luar negara bagi memadamkan kebakaran hutan. Selepas terima panggilan, saya bergegas ke balai operasi di Jalan Hang Tuah. Di situ, kami berbincang tentang kaedah untuk memadamkan kebakaran hutan. Semuanya dipelajari secara manual kerana kebakaran hutan bukan kepakaran kami. We are urban firefighter not a rural firefighter. Kita biasa dengan ground fire, iaitu kebakaran yang melibatkan belukar dan tumbuhan di permukaan. Namun, kebakaran tanah gambut sangat jarang berlaku di Malaysia. Di Indonesia, tanah gambutnya banyak. Bagi petani kecil, untuk membersihkan sisa tanaman, mereka tiada pilihan lain selain membakar. Syarikat yang besar pula ada undang-undang tetapi pelaksanaannya tidak ketat.

Bagaimana pemilihan anggota dibuat?

Sebaik terima arahan, kita terus kerahkan semua pengarah negeri untuk hantar anggota bomba yang terlatih dalam tempoh 48 jam. Kita pilih anggota berdasarkan kesihatan, kecergasan dan pengalaman mereka. Proses pemilihan dibuat daripada peringkat skuad, platun level, rejimen, sampai ke balai dan kemudian negeri akan pilih. Setiap mereka ada kepakaran tertentu seperti memasak, menguruskan logistik dan mekanik. Umur pula antara 28 hingga 50 tahun. Saya ketika itu berusia 34 tahun.

Bagaimana proses perjalanan berangkat ke sana?

Pada 22 September, jam 10 pagi kita sudah bersedia di Pelabuhan Klang dengan 1,200 anggota bomba bawah pengawasan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Ini termasuklah 32 orang daripada semboyan tentera yang dipakaikan baju bomba kerana ketika itu, ada sensitiviti berkaitan tentera. Kita juga ada 20 anggota Smart dan tentera combat paramedik untuk jaga kesihatan.

Kita turut membawa 20 tan makanan kering, 12 pacuan empat roda dan 100 tan peralatan pemadam kebakaran dan alatan penyelenggaraan yang lain. Pergerakan kita ke Dumai, Riau melalui Port Klang dengan menaiki kapal TLDM Seri Mahawangsa. Perjalanan ambil masa 16 jam. Sesampainya di Dumai, kami disambut oleh pegawai daerah. Kemudian kami memunggah barang sehingga jam 5 pagi.

Boleh gambarkan keadaan ketika sampai di Dumai?

Ketika sampai di sana, barulah kami rasai sendiri keadaan sebenar jerebu yang memberi kejutan kepada semua. Penglihatan amat terhad dan bau asap juga sangat lain. Serpihan bahan yang dibakar juga sudah mula kelihatan. Kami seolah-olah berada di dunia yang lain, terasa macam dalam filem.

Apakah perancangan yang telah diatur bagi menjayakan misi tersebut?

Semasa di dalam kapal, kita sudah ada rancangan sendiri berdasarkan laporan NOAA. Setelah berjumpa dengan pegawai yang berkenaan di sana, kami berbincang dan diterangkan mengenai keadaan daerah yang terjejas iaitu Riau, Jambi dan Sumatera Selatan (Sumsel). Mereka beritahu pergerakan kita dibahagikan kepada 17 post iaitu lima di Riau, dan masing-masing enam di Jambi dan Sumsel. Jadi, rancangan asal kami di kapal sudah bertukar. Saya anggap itu sebagai cabaran. Jabatan bomba di sana tidak boleh beri bantuan kerana kebakaran hutan tertakluk pada tanggungjawab Jabatan Hutan. Namun, kami mendapat bantuan jabatan lain seperti Dinas Lalu Lintas Angkutan Jalan (DLLAJ), Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (Abri) danTentera Negara Indonesia (TNI). Jarak untuk ke post yang paling jauh di Sumsel memakan masa 27 jam.

Sebanyak 24 treler digunakan untuk membawa peralatan ke lokasi manakala anggota kita dibawa dengan bas. Kita bahagikan anggota kepada 500 orang di Sumsel, 400 di Jambi dan 300 di Riau.
 
Saya pula berpangkalan di Pekan Baru, Riau bertempat di markas taktikal bangunan konsulat.
 
Dari sini, kita bagi arahan kepada setiap post dan melaporkan kepada MKN.

Antara kesukaran atau cabaran yang dihadapi anggota kita?

Ketika dalam perjalanan ke post, ada anggota yang dapat khabar buruk dari tanah air. Saya beri pilihan kepada mereka untuk pulang, tetapi semangat mereka kuat untuk teruskan misi. Di Riau, kebakaran berlaku di kawasan tanah gambut. Beberapa teknik digunakan termasuk membanjiri kawasan itu dengan air. Kita terpaksa guna apa saja sumber air yang ada termasuk dari sungai dan longkang terdekat. Selain itu, ada juga anggota kita yang terpaksa angkat 30 pam yang beratnya 50 kilogram setiap satu. Tenaga mereka banyak habis di situ sedangkan tumpuan mereka sepatutnya kepada operasi pemadaman. Paling teruk ialah keadaan anggota kita di Sumsel yang terpaksa tidur di ruang terbuka di bawah khemah. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, saya kagum dengan semangat mereka. Ketika mula-mula sampai di lokasi, mereka terus memacakkan bendera dan nyanyi lagu kebangsaan. Anggota kita juga tidak pernah lupa baca doa sebelum memulakan operasi.

Setelah berhempas pulas memadamkan kebakaran, bilakah operasi ini tamat?

Setelah enam bulan tidak hujan, akhirnya pada 16 Oktober 1997 buat pertama kalinya hujan turun di Riau. Langit biru sudah kelihatan dan titik panas juga dilaporkan semakin kurang.
 
Selang sehari selepas itu, hujan turun di Jambi pula. Keadaan di Sumsel juga semakin baik dan kita boleh kawal tanpa memerlukan bantuan anggota tambahan. Jika dilihat dari gambar satelit, titik panas semakin kurang.  Saya boleh kata 97 peratus kebakaran berjaya dipadamkan. Ini berdasarkan gambar satelit yang menunjukkan tiada lagi kebakaran. Kebanyakan kebakaran dipadamkan oleh anggota selain dibantu oleh hujan. Bagi saya, ALLAH SWT lebih mengetahui niat kami yang datang untuk membantu. Jadi, hujan ini dianggap sebagai ganjaran atas segala usaha kami. Pada hari ke-23, MKN sudah memberi kebenaran untuk pulang. Selepas operasi berakhir, kita adakan program ‘jiwa murni’ dengan mengagihkan makanan dan ubat-ubatan yang masih berbaki. Kami turut mengajar mereka cara untuk menangani kebakaran hutan. Sebelum pulang, kami diraikan Gabenor dalam majlis santapan istimewa dengan penghormatan tertinggi. Orang tempatan menyanjung tinggi anggota kita. Malah, hampir setiap hari operasi kami dapat liputan luas media di sana.

Selepas sebulan di Indonesia, kepulangan kami ke tanah air disambut bagai wira negara. Selepas itu, dalam bajet yang dibentangkan di Parlimen, kita dapat elaun khas. Malah, ada beberapa pegawai kita menerima penganugerahan.

Hasil daripada operasi tersebut, apakah pengalaman yang paling bermakna?

Di sebalik kesukaran kami di Indonesia, ilmu yang diperolehi adalah yang paling berharga. Hasil daripada kemahiran yang dipelajari, kita jalankan kursus pemadaman kebakaran hutan di Kuala Kubu Baru. Kita panggil anggota bomba dari Indonesia dan Vietnam untuk jalani kursus.

Keupayaan kita juga semakin menjangkau jauh apabila ada anggota yang mahir dalam mengendalikan kebakaran di lombong bawah tanah. Alhamdulillah, setakat ini jika berlaku kebakaran hutan tanah gambut dalam negara, kita boleh tangani dengan mudah.  Apa yang lebih membanggakan saya ialah transformasi pasukan berlaku selepas kita pulang dari Indonesia. Nama bomba telah ditukar daripada Jabatan Perkhidmatan Bomba kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Masyarakat juga meletakkan kepercayaan kepada bomba kerana misi kita adalah untuk membantu bukan menyusahkan.

Selain pengalaman gembira, mungkin ada pengalaman sedih?

Seminggu selepas itu, kita dapat laporan beberapa anggota kita ditimpa pelbagai penyakit. Ada yang keguguran rambut, asma dan ada yang sakit termenung. Paling menyedihkan ialah apabila seorang anggota kita meninggal dunia setelah seminggu berada di hospital. Hasil post-mortem mendapati ada kandungan racun dalam darahnya, mungkin kesan menghidu asap jerebu ketika operasi.

Bagi kes jerebu yang melanda sekarang, adakah bomba sudah menerima arahan agar bersedia menghantar anggota ke Indonesia?

Buat masa ini, kita hanya tunggu arahan daripada MKN kerana penghantaran anggota ke sana perlu dikoordinasi dengan baik. Banyak aspek perlu dipertimbangkan seperti komunikasi, perubatan, logistik dan keadaan anggota sendiri. Jika memerlukan anggota kita dihantar, saya lihat dari segi operasi masih sama. Cuma kemampuan kita semakin bertambah baik berbanding 1997. Kita juga boleh melakukan pemadaman dengan lebih berkesan berbanding pendekatan konvensional yang digunakan 16 tahun lalu. Kita sudah ada helikopter dan tujuh pesawat untuk buat water bombing selain peralatan khas untuk kebakaran hutan. Dengan pengalaman yang ada, tiada masalah besar untuk sekali lagi menghantar anggota ke sana.

Mungkin tuan boleh ulas mengenai perbezaan pendekatan menangani jerebu pada 1997 dan sekarang antara negara terlibat?
 
Perbezaan sekarang, kesedaran dah tinggi dan kita ada jawatankuasa jerebu di peringkat Asean. Ada peraturan dan rangka kerja yang perlu dipersetujui semua negara. Namun, tindakan agak lambat kerana tiada persefahaman. Jawatankuasa tersebut sepatutnya duduk berbincang mengenai tindakan yang perlu diambil. Tetapi, itu tidak terjadi. Jika Indonesia komited, mereka akan sama-sama cari penyelesaian. Dari segi karenah dan karakter orang Indonesia, masih sama.
Mereka asyik menyalahkan syarikat Malaysia yang buat pembakaran. Sedangkan, kita dapat laporan, syarikat ini hanya buat pembakaran yang dibenarkan. Situasi sama ini telah saya lalui 16 tahun lalu. Masyarakat di Indonesia mungkin tidak kisah kerana mereka berdepan isu jerebu hampir setiap tahun. Namun, berbeza dengan rakyat Malaysia kerana kita amat pentingkan kualiti kesihatan.