PEMAIN sayap Kelantan, Indra Putra Mahayuddin menegaskan penghijrahannya ke Felda United untuk berjaya dalam bola sepak dan bukan kerana wang.

Kelmarin, pemain berusia 32 tahun itu menandatangani kontrak untuk menyarung jersi The Settlers bagi kempen Liga Malaysia (Liga-M) untuk musim depan.

Menurutnya, sebelum itu  dia melakukan solat istikharah dan diberikan petunjuk tersebut  oleh ALLAH SWT.

"Saya cuma  buat solat istikharah lalu mendapat petunjuk itu. Saya buat keputusan ini semata-mata demi masa depan.

"Bukan kerana diberikan tawaran lumayan atau sebagainya.

"Kalau saya bermain demi wang kenapa saya harus memilih pasukan dari Liga Premier.
 
"Saya lakukan ini untuk karier saya dan saya ingin bantu Felda sejauh mana yang saya boleh," katanya semalam.

Ketika ditanya adakah pilihannya bersama Felda United akan menjamin masa depannya musim akan datang, Indra berkata, dia menyertai pasukan itu untuk menimba pengalaman dan  seterusnya mencapai kejayaan dalam karier bola sepak.

"Saya tidak kisah beraksi dalam Liga Premier kerana beraksi di mana-mana pasukan pun sama. Lagipun sekarang bukan masa untuk saya kejar nama atau mencari populariti.

"Saya sudah miliki semua piala, saya rasa ia sudah cukup. Sekarang adalah masa untuk memikirkan masa hadapan.

"Apa pun, saya akan berusaha membantu Felda kembali beraksi dalam Liga Super nanti. Insya-ALLAH saya akan melakukan yang terbaik untuk pasukan baru, musim depan," katanya,

Selain Indra Putra, Felda United juga telah mendapatkan khidmat pemain tengah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Shukor Adan dan penjaga gol utamanya, Farizal Harun serta penyerang Negeri Sembilan, Shahurain Abu Samah.