KUALA LUMPUR - Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) menggesa kerajaan membanteras penjualan rokok haram di pasaran dengan mengehadkan lesen premis yang menjual rokok.

Presidennya, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, dalam kenyataan hari ini, berkata susulan peningkatan jualan rokok haram, maka terdapat cadangan untuk membenarkan semula penjualan rokok dalam pek mini (kiddie pack).

"Terdapat tekanan terhadap kerajaan untuk mengembalikan semula penjualan rokok dalam pek mini yang diharamkan pada 2010.

“Kami percaya  kerajaan tidak perlu didesak kerana penyakit berkaitan tembakau  menyumbang kepada satu daripada 10 kematian di dunia.

Di Malaysia, katanya, buat masa ini terdapat 4.7 juta perokok dan 50 remaja  di bawah 18 tahun memulakan tabiat merokok setiap hari.

“Menjadikan harga rokok mampu untuk kanak-kanak dan remaja akan jelas membawa impak yang jauh lebih besar daripada apa yang kita bayangkan,” katanya. - Bernama