MENJELANG perlawanan keempat Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 menentang Arab Saudi, pengendali sementara Datuk Ong Kim Swee menyenaraikan lima muka baharu dan menggugurkan enam pemain bagi aksi di Stadium Shah Alam, malam esok.

Lima pemain yang dipanggil termasuk dua tonggak Harimau Muda B, Ramadhan Hamid dan Adam Nor Azlin, pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Fadhli Shas, penyerang Kelantan, Ahmad Fakri Saarani dan pemain tengah Perak, Nurridzuan Abu Hassan. 

Enam pemain yang digugurkan ialah termasuk Zamir Selamat yang mengalami kecederaan ACL,  Zubir Azmi (Pertahanan) cedera, Nor Farhan Muhammad, Shahrul Azwari Ibrahim, Syamim Yahyah dan S Kumaraahan. 

Ditanya fokus utamanya selepas mengambil alih jawatan tersebut, pengendali kelahiran Melaka ini tidak  berminat ‘berbincang’ mengenai kekalahan di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khamis lalu, tetapi lebih gemar memilih pendekatan untuk lebih fokus kepada pertemuan malam esok.

“Tidak perlu lihat kekalahan di tangan UAE. Perkara lepas biarkan lepas. Jumlah jaringan kita tahu, tetapi saya tidak mahu sentuh (bincang).

“Yang mustahak sekarang kita harus melihat Arab Saudi. Jadi, yang penting bukan video (kekalahan di tangan) pasukan UAE tetapi fokus kepada Arab Saudi.

“Saya telah dapatkan video Arab Saudi menentang Timor Leste dan daripada rakaman itu, saya cuba aturkan beberapa perancangan,” jelasnya yang menganggap perlawanan malam esok penting untuk menghidupkan kembali peluang Harimau Malaya.

Kim Swee juga mengharapkan barisan pemainnya kembali bangkit daripada kekecewaan selain berusaha mendapatkan keputusan positif ketika melayan kunjungan Arab Saudi.

“Tidak banyak perbezaan melatih, sudah tentu saya ingin lihat satu pasukan yang cukup baik. Saya jangkakan pemain akan bermula agak sedikit (perlahan) selepas keletihan (bertemu UAE).

“Sudah tentu saya mempunyai perancangan untuk melakukan beberapa perkara yang saya fikir (proses) itu amat penting terutama disiplin. Bukan sahaja di luar padang tetapi (disiplin) di atas padang juga harus diambil kira,” katanya.