MESTI menang, itu misi yang bakal dibawa pasukan Terengganu ketika turun melayan kunjungan musuh tradisi jiran tetangga, Kelantan dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Begitu pun, pengendali Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim enggan menjadikan kedudukan liga ketika ini sebagai sandaran utama buat anak buah untuk tidak menampilkan aksi terbaik sepanjang mengharungi perlawanan itu nanti sekali gus mempertahankan rekod bersih di laman sendiri yang dikekalkan setakat ini.

Sebaliknya, ketua jurulatih yang penuh dengan pengalaman itu menyifatkan Kelantan berada dalam kelompok yang sama apabila masing-masing ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu liga, Felda United.

Apa yang pasti tempoh rehat hampir dua minggu telah pun dimanfaatkan sebaik mungkin Abdul Rahman Ibrahim dalam memantapkan lagi pasukan dengan sesi latihan yang lebih sistematik termasuk mengharungi perlawanan persahabatan bersama Kuantan FA baru-baru ini.

Strategi baru

Justeru, bekas pengendali skuad kebangsaan itu telah pun merencanakan beberapa pendekatan dan strategi baharu untuk terus mengutip mata bukan sahaja dalam pertemuan dengan Kelantan malah pada saingan suku akhir Piala FA bertemu Perak nanti.

Sedikit menggembirakan buat skuad Penyu apabila pemain yang dibelenggu kecederaan pada perlawanan sebelum ini kembali cergas termasuk bangku simpanan yang dilihat mampu mengimbangi prestasi tonggak utama pasukan.

Lebih teruja apabila pasukan Terengganu kini diperkuatkan dengan kehadiran pemain import keempat , Issey Morgan Nakajima Farran yang dijadualkan membuat penampilan sulung membantu skuad Penyu bertemu kem The Red Warriors.

Tagih impak Nakajima

Mengulas lanjut pemain kouta import Asia itu, Abdul Rahman mengharapkan bekas  pemain yang pernah beraksi bersama pasukan Montreal Impact dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat itu mampu memberi dimensi baharu kepada corak permainan pasukan Terengganu.

Ini kerana pemain berusia 31 tahun itu memiliki kelebihan dalam kawalan bola, pantas dan sentiasa bergerak di atas padang mencari ruang serta peluang di hadapan gawang sekali gus dilihat mampu membantu Paulo Rangel meledakkan jaringan buat skuad Penyu.

Malah, Issey Nakajima juga dikatakan sudah pun menunjukkan keserasian semasa menjalani latihan bukan sahaja dalam kalangan pemain tempatan malah bintang import pasukan yang dikatakan memiliki gaya permainan setanding dengan  Gustavo Lopez dan Paulo Rangel.