SEBANYAK 11 pemain baharu akan dipanggil bagi menjalani sesi pemilihan skuad Harimau Muda A (Bawah 23) dalam tempoh terdekat, kata ketua jurulatih skuad itu Datuk Ong Kim Swee.

Katanya beliau akan menguji enam pemain daripada pasukan Harimau Muda B (Bawah 21) serta lima pemain daripada pasukan Harimau Muda C (Bawah 19) memandangkan skuad berkenaan bakal beraksi dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Brisbane, Australia dari Mac sehingga Ogos ini.

Selain menguji 11 pemain berkenaan, beliau turut memantau beberapa pemain berpotensi daripada Kejohanan Piala Presiden yang bermula minggu ini untuk dibawa bersama beraksi dalam liga divisyen dua Australia itu.

"Tidak semestinya kesemua pemain akan pergi termasuk sesiapa yang saya pilih daripada Kejohanan Piala Presiden nanti kerana saya harus memberi mereka lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan saya," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata skuad kendaliannya hanya akan bercuti pada Jumaat dan Sabtu ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina sebelum menyambung semula sesi latihan pada Ahad bagi memastikan para pemain dapat mengekalkan kecergasan masing-masing.

"Kita tidak mempunyai banyak masa lagi sebelum kita bertolak ke Brisbane nanti," kata Kim Swee.

Pada masa yang sama, beliau turut mengharapkan kehadiran Tahun Baharu Cina yang bakal disambut Jumaat ini menghadirkan tuah untuk skuad kendaliannya memandangkan mereka bakal menggalas cabaran negara pada saingan Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan pada September nanti.

Skuad Harimau Muda A kehilangan khidmat beberapa tonggak utama musim ini atas pelbagai faktor termasuk melebihi usia 23 tahun serta tidak menyambung kontrak bersama pasukan remaja negara itu.

Antaranya ialah kapten pasukan Mohd Irfan Fazail, pemain pertahanan Mohd Fadhli Mohd Shas serta penjaga gol Mohd Izham Tarmizi Roslan yang beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) serta penyerang Izzaq Faris Ramlan yang kembali semula ke negeri kelahirannya Terengganu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini dilaporkan sebagai berkata penyertaan skuad Harimau Muda A dalam NPL bertujuan memantapkan persediaan pasukan Malaysia sebelum menghadapi Sukan Asia 2014. - Bernama