KOTA BHARU - Kelantan meraih kemenangan keempat berturut-turut apabila mengejutkan Perlis 2-0 pada perlawanan Liga Piala Belia yang berlangsung di Stadium Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Pauh, dua hari lalu.

Kemenangan tersebut sekali gus melonjakkan bekas juara bertahan musim lalu itu daripada tangga keenam kepada keempat dengan mengumpul 18 mata ketika saingan liga berbaki tiga perlawanan untuk ditamatkan.

Skuad The Young Warriors yang dibimbing jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan mendahului 1-0 dalam babak pertama menerusi jaringan ketua pasukan, Mohd Azwan Mohd Aripin pada minit ke-23.

Kelantan terus menambah derita ke atas skuad bimbingan Suhairi Abd Karim apabila penyerang licik, Wan Muhammad Azam Mazlan menjaringkan gol kedua pasukan pada minit-minit akhir permainan.

Kejayaan menundukkan Perlis menyaksikan Kelantan kini menghuni tangga keempat dengan 18 mata, di belakang peneraju liga, Selangor (28 mata), Kedah (25 mata) dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Pahang dengan 22 mata.

Hasil kemenangan itu membolehkan barisan pemain dan pegawai menerima bonus disampaikan penaung pasukan, yang juga Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim pada majlis makan malam selepas perlawanan di Alor Setar, malam kelmarin.

Sementara itu, pengurus pasukan, Jae Affandi Hussin berkata, faktor kemenangan pasukannya dibantu barisan pemain yang beraksi mengikut taktikal ditetapkan jurulatih, selain berjaya menguasai hampir keseluruhan perlawanan itu.

“Namun apa yang lebih menggembirakan saya ialah kebangkitan pasukan Kelantan ketika ini. Kita bukan sahaja menang empat perlawanan dengan menjaringkan lapan gol, malah gawang kita juga langsung tidak dibolosi.

“Rombakan pihak pengurusan dengan membawa masuk lima pemain baharu pada pintu pendaftaran baru-baru ini membuahkan hasil. Berbaki tiga perlawanan lagi, saya berharap kita dalam menamatkan saingan musim ini dalam kelompok empat pasukan teratas,” katanya.


PERLIS 0

KELANTAN 2
Mohd Azwan Mohd Aripin
(m-23)
Wan Muhamad Azam Mazlan (m-90+5)