FELCRA FC dilihat berpeluang merebut slot Liga Perdana musim depan, berdasarkan persembahan mantap ditampilkan sepanjang kempen Liga FAM, musim ini.

Namun, skuad kendalian Yusri Che Lah itu terlebih dahulu perlu menyingkirkan lawan mereka, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) dalam perebutan ke pentas final.

Malam esok, The Rivals bakal melayan kunjungan PKNP FC di Arena Universiti Malaya (UM) bagi pertembungan separuh akhir kedua.

Dalam pusingan pertama 25 September lalu di Ipoh, kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan.

MESTI MENANG

BAGI menyalakan impian beraksi di Liga Perdana, Felcra FC perlu melakar kemenangan mutlak ke atas PKNP FC untuk menjamin laluan ke perlawanan akhir.

Justeru, Yusri menggesa anak buahnya memanfaatkan segala kelebihan di gelanggang sendiri selain meminta mereka menampilkan persembahan terpuji walaupun terpaksa beraksi tanpa kelibat beberapa tunggak utama pasukan.

“Saya akan melakukan sedikit rombakan dalam senarai pemain disebabkan penggantungan beberapa pemain utama.

“Misi kami adalah untuk mencari kemenangan biar apa pun jaringannya namun Felcra wajib menang dalam perlawanan kali ini,” katanya.

MORAL TINGGI

"KAMI berjanji untuk cuba beri yang terbaik," kata Kapten Felcra FC, Fazly Shaari.

Menurut Fazly, dia dan rakan sepasukannya berada pada tahap terbaik untuk perlawanan malam esok.

Malah katanya, dia dan rakan-rakan tidak tertekan dalam misi membawa pasukannya layak ke Liga Perdana 2017.

"Kami amat menghargai semangat penyokong Felcra FC yang selama ini hadir memberi sokongan tidak berbelah bahagi walau di mana kami berdiri.

"Saya mewakili rakan sepasukan juga menghargai pihak pengurusan yang telah memberikan kepercayaan kepada kami sepanjang perjalanan ini.

"Semoga doa semua mengiringi perjalanan kami, membawa Felcra FC ke mercu sebuah kejayaan yang gemilang," katanya.

INFO

- Ditubuhkan pada 2011.
- Pada 2015, Felcra FC menamatkan saingan Liga FAM di tangga kelima (Kumpulan A).
- Menamatkan saingan musim ini (Kumpulan A) di tangga kedua (33 mata) sekali gus layak ke pusingan kalah mati Liga FAM.
- Berpeluang ke Liga Perdana 2017 sekiranya menang perlawanan akhir yang dijangka berlangsung secara timbal balik pada 20 dan 27 Oktober nanti.