BEKAS pemain skuad Piala Presiden Kelantan, Mohamad Rozaimi Azwar Mat Noor bertekad mahu menyarung jersi skuad senior pada saingan Liga Malaysia (Liga-M)
musim depan.

Mohamad Rozaimi Azwar, yang bakal menginjak usia 22 tahun musim depan jelas tidak mahu melepaskan peluang setelah dipanggil ketua jurulatih The Red Warriors, George Boateng berlatih bersama skuad berkenaan menghadapi kempen Piala Malaysia, ketika ini.

“Saya sangat teruja apabila jurulatih (George Boateng) memanggil saya dan rakan sepasukan, Muhammad Fakrul Ikram Azahari berlatih bersama pemain senior. Ini merupakan peluang buat saya membuktikan kemampuan bersaing dengan mereka.

“Sudah pasti saya mahu kekal bermain di sini (Kelantan) sekiranya mendapat peluang namun tidak menolak untuk berkelana ke mana-mana pasukan lain sekiranya gagal mendapat tempat bagi meneruskan kerjaya ini,” katanya.

MATI HIDUP SEMULA

Kecelakaan jalan raya yang menimpa dia pada sambutan Tahun Baharu Cina, tiga tahun lalu seakan menutup terus peluang pemain kelahiran Rantau Panjang itu untuk melebarkan kariernya dalam bola sepak.

Apa tidaknya, Mohamad Rozaimi Azwar terpaksa terlantar hampir setahun di rumah setelah patah kaki kiri dalam kemalangan yang melibatkan motosikal ditungganginya di Lebuh Raya Salor – Pasir Mas itu.

Namun, kuasa ALLAH SWT mengatasi segala-galanya apabila anak bongsu daripada lapan adik-beradik seperti mati hidup semula apabila kembali menyepak bola setahun
kemudian.

“Doa ibu-bapa tidak pernah putus-putus untuk melihat saya kembali bermain bola sepak. Mereka sentiasa memberi sokongan moral, perangsang dan anggap
kecederaan itu sedikit sahaja sebagai pembakar semangat buat saya,” katanya.

TERPAKSA BERKELANA

Langit tidak selalunya cerah buat Mohamad Rozaimi Azwar biarpun berupaya kembali beraksi di atas padang, namun peluang dia untuk menyarung jersi skuad Piala Presiden Kelantan ketika di bawah bimbingan Mohd Hashim Mustapha tertutup pada musim 2012.

Akibatnya, dia terpaksa berkelana ke Perlis namun hanya untuk tempoh semusim sebelum kembali menabur bakti bersama negeri kelahirannya sehingga membawa pasukan tersebut muncul juara pada tahun 2013.

“Itu merupakan kenangan manis sepanjang bergelar pemain bola sepak tetapi ada juga pahitnya kerana musim ini saya gagal membantu Kelantan mempertahankan kejuaraan itu,” katanya yang meminati karakter pemain veteran Angkatan Tentera Malaysia, Muhammad Shukor Adan.


PROFIL MOHAMAD ROZAIMI AZWAR MAT NOOR

Nama : Mohamad Rozaimi Azwar Mat Noor

Tarikh lahir : 24 Januari 1993

Umur : 21 tahun

Asal : Rantau Panjang, Kelantan

Posisi : Tengah

Nombor jersi : 4

Adik-beradik : Anak bongsu daripada lapan adik beradik

Status : Bujang

Pendidikan : SPM

Pemain tempatan diminati : Muhammad Shukor Adan (ATM)

Pemain antarabangsa diminati : Andres Iniesta (Sepanyol)

KARIER SELAKU PEMAIN

2012 – Piala Presiden Perlis

2013 – sekarang – Piala Presiden Kelantan