AKSI mantap pemain Croatia, Zelemir Terkers pada aksi persahabatan menentang Kelantan di Stadium Perak, kelmarin nyata memikat pihak pengurusan skuad Liga Super Perak musim 2014.

Mengulas lanjut, ketua jurulatih Perak Abu Bakar Fadzim berkata, Zelemir juga telah mempamerkan kesungguhan pada aksi persahabatan menentang naib juara Piala Malaysia serta juara Piala FA, kelmarin hingga berjaya menjaringkan gol pada perlawanan berkenaan.

Justeru, menurut Abu Bakar, pihaknya nyata berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan Zelemir biarpun pemain berkenaan baru sahaja tiba di negara ini, pagi kelmarin.

“Kita berpuas hati dengan persembahan pemain ini. Dia ada keistimewaan tersendiri berikutan masih mampu menjaringkan gol walaupun baru sahaja tiba.

“Selain itu, dia juga berjaya menjaringkan gol serta bijak membuka ruang buat rakan-rakan sepasukan pada perlawanan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Abu Bakar berkata demikian ketika mengulas aksi persahabatan menentang Kelantan di Stadium Perak yang menyaksikan Perak berjaya membenam naib juara Piala Malaysia musim lalu itu, 4-1 menerusi jaringan Mohd Noor Hazrul Mustaffa, Zelemir,
Shahrizal Saad dan Muhammad Ridzuan Azly Hussan biarpun penyerang Kelantan, Shakir Ali berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada babak pertama.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, pihaknya nyata berbangga berikutan aksi semua pemain yang dilihat begitu menyakinkan di sepanjang perlawanan.