LOMBOK BARAT – INDONESIA. Sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) cemas apabila masjid yang dilawati oleh mereka tiba-tiba bergoyang dan hampir runtuh.

Masjid Nurul Jibal rosak teruk akibat gempa bumi tempoh hari dan ia tidak selamat untuk digunakan lagi.

Ketika Kejadian, Pengarah Komunikasi dan Medianya, Muhammad Faeez Azahar berkata, beliau dan peserta misi yang lain beristirehat di struktur masjid tersebut sebaik sahaja sampai dan tiba-tiba mereka berasa tidak selesa apabila struktur bangunan masjid tersebut seolah-olah bergoyang.

Jelasnya, kesemua mereka bertempiaran lari menjauhi struktur bangunan masjid tersebut bagi mengelak daripada perkara yang tidak diingini berlaku.

"Setelah letih menelusuri bukit dengan jarak yang agak jauh untuk sampai ke perkampungan itu, kami berehat seketika di masjid tersebut sambil berbincang dengan penduduk di sana.

Kanak-kanak melalui kawasan runtuhan masjid.

"Kami terkejut apabila struktur masjid tersebut tiba-tiba bergoyang dan seperti mahu rebah ke bumi. tidak fikir lama dan kami terus lari menyelamatkan diri," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, masjid tersebut terletak di sebuah bukit di Sempeni Dusun Malaka, Lombok Barat, perjalanan ke lokasi perkampungan tersebut tidak boleh menaiki kenderaan selain motosikal kerana jalannya cerun dan kecil.

Faeez berkata, kejadian itu membuktikan masjid tersebut tidak mampu lagi dibaiki dan ia perlu dibina semula agar 150 buah keluarga di bukit itu dapat menggunakan semula masjid yang satu-satunya ada di situ.

Katanya, Serantau Muslim sangat berhasrat untuk membantu membina masjid baharu di situ menggantikan struktur sedia ada yang tidak lagi selamat untuk dibaik pulih.

Sementara itu, wakil penduduk, Mohd Sultan Haris berkata, untuk memastikan ibadat harian penduduk serta aktiviti kemasyarakatan di kampung itu tidak terganggu, satu masjid sementara telah dibina bersebelahan masjid tersebut menggunakan kanvas plastik.

Beliau mengharapkan agar rakyat Malaysia dapat bersama-sama menyumbang untuk membantu menjayakan pembinaan semula Masjid Nurul Jibal.

"Saya mengharapkan saudara kita di Malaysia dapat bersama-sama membantu sebanyak mungkin dan secepat mungkin bagi membantu kami membina masjid ini.

"Rakyat Malaysia dikenali hati budinya yang sangat budiman dan dermawan, saya yakin rakyat Malaysia sangat simpati dengan nasib yang dialami oleh kami ketika ini," katanya.