DUNGUN - Mayat warga emas yang hilang sejak Ahad lalu ditemui  di dalam longkang di hadapan rumahnya di Felda Kerteh 5, di sini, semalam.

Misteri kehilangan Said Samah, 73 terungkai apabila jasadnya ditemui oleh anak perempuannya kira-kira jam 3.50 petang.

Mangsa dilaporkan keluar rumah kira-kira jam 7.30 petang empat hari lepas ketika hujan lebat dan tidak disedari ahli keluarga.

Sebaik sahaja menyedari kehilangan lelaki itu, keluarga berusaha mencari tetapi menemui jalan buntu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 20 meter dari rumahnya di dalam longkang sedalam 0.5 meter.

"Sebelum ini mangsa sering merayau di sekitar kawasan tersebut dan biasanya akan dihantar pulang oleh anggota polis serta orang ramai.

"Bagaimanapun kali ini mangsa tidak ditemui sehinggalah mayatnya dijumpai di dalam longkang," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan terhadap tubuh badan mangsa, tiada sebarang unsur jenayah ditemui.

"Mayat mangsa diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.