KUALA Lumpur disahkan sudah mendapatkan khidmat pemain Perak, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak bagi memperkuatkan skuad itu menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Ketua jurulatihnya, Fabio Magrao berkata, pemain itu sudah menandatangi kontrak bersama skuad The City Boys hari ini dan akan diperkenalkan sedikit masa lagi.

Jelasnya, faktor pemilihan pemain senior itu adalah bertujuan untuk memberi keseimbangan di dalam pasukannya yang sudah mempunyai ramai pemain muda sebelum ini.

“Saya tahu Zaquan adalah pemain yang berkualiti kerana dia pernah menyarung jersi kebangsaan sebelum ini.

“Bagi saya pemilihan pemain yang agak berusia seperti dia dan Indra Putra bukanlah satu risiko besar, asalkan mereka mempunyai kualiti yang diperlukan untuk memperkuatkan pasukan.

“Saya percaya dengan pengalaman yang mereka ada, mereka dapat membantu ramai pemain muda dalam skuad ini menghadapi musim depan dan saya yakin kualiti seperti ini amat diperlukan agar kami dapat bersaing di kelompok teratas liga,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pemain import yang akan menyarung jersi The City Boys musim depan, Fabio mengesahkan beliau hanya akan menggunakan khidmat empat pemain import sahaja.

“Sebelum ini ada tiga pemain Indonesia yang datang untuk diuji dan saya berminat dengan seorang pemain itu. Tetapi difahamkan kelab lamanya tidak mahu melepaskan pemain itu.

“Dua lagi pemain yang ada bagi saya kualitinya hanya setaraf dengan pemain tempatan sahaja, jadi buat apa kami perlu melabur untuk mereka? Lebih baik saya kekalkan dengan menggunakan empat tonggak import sahaja musim depan,” katanya.

Setakat ini, KLFA sudah mengekalkan khidmat dua tonggak import musim lalu, Guilherme de Paula dan Paulo Josue, selain turut mengikat seorang pemain dari Brazil, Juninho atau Junior Aparecido Souza untuk memperkuatkan pasukan itu musim depan.