PASUKAN berstatus kelab T-Team berjaya memanfaatkan kelebihan beraski di laman sendiri apabila berpersta gol dengan kemenangan 4-1 ketika turun melayan kunjungan Kedah dalam aksi saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Lebih manis apabila kejayaan itu juga turut melakarkan hatrik kemenangan setelah menjinakkan Kelantan dan Sarawak dalam aksi terdahulu.

Pada pertemuan itu menyaksikan kem tuan rumah  bermula garang dengan melakukan asakan terus ke gawang pelawat menerusi  beberapa percubaan menarik sepanjang lima minit permainan  bermula.

T-Team penuh bersemangat dalam memburu jaringan akhirnya berjaya meraih gol awal menerusi sepakan lambung, Mohd Asrol Ibrahim pada minit ke sembilan hasil percubaan menarik dari luar kotak penalti.

Jaringan awal itu bagaimanapun tidak melemahkan kem pelawat, apabila bangkit melancarkan serangan balas, namun dua peluang menarik di depan pintu gol T-Team gagal dimanfaatkan Baddrol Bakhtiar (minit 17) dan Muhammad Farhan Roslan (minit 22).

Begitupun kem The Titans bingkas mengatur gerakan dan nyaris menggandakan jaringan menerusi percubaan kemas, Patrick Dos Santos Cruz pada minit ke-28, tetapi rembatannya sekadar singgah di palang gol.

T-Team yang terus bersemangat untuk mengukuhkan kedudukan sekali lagi mempersia-siakan peluang keemasan apabila sepakan kemas Abdoulaye Youssouf Maiga gagal menemui pintu gol pada minit ke-33.

Usaha pelawat dalam mencari jaringan penyamaan akhirnya tertunai apabila Baddrol Bakhtiar bijak menanduk masuk hantaran  Liridon Krasniqi pada minit ke-42  sekaligus membawa perlawanan ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua memperlihatkan kedua-dua pasukan memperkemaskan rentak permainan dan kem tuan rumah hampir menambah jaringan menerusi gerakan solo Makan Konate tetapi usaha penyerang kelahiran Mali itu gagal disempurnakan dengan kemas pada minit ke-48.

Tiga minit berselang giliran Kedah pula menguji gawang T-Team menerusi Carlor Eduardo De Souza, namun Muhammad Ilham Amirullah bertindak cemerlang menepis keluar percubaan mencemaskan jentera serangan skuad Helang Merah  itu.

Sorakan penyokong setia skuad The Titans terus bergema apabila Makan Konate kembali membawa tua rumah di depan pada minit ke-65  hasil hantaran kemas, Mohd  Safawi Rasid untuk gol kedua T-Team.

Enam minit berselang Makan Konate hampir mengukuhkan kedudukan setelah berjaya memperdayakan benteng pertahanan Kedah, namun rembatannya berjaya dihalang penjaga gawang pelawat, Mohd Farhan Abu Bakar.

Kekecewaan itu bagaimanapun terbalas apabila pemain gantian Ahmad Takhiyudin Roslan berjaya menjaringkan gol ketiga T-Team pada minit ke-77 setelah bijak memanfaatkan tandukan keluar yang dilakukan benteng pertahanan Kedah.

Penghujung perlawanan T-Team terus melebarkan jaringan menerusi sepakan percuma yang disempurnakan dengan kemas Mohd Sapawi Rasid pada minit ke-83 sekaligus memberi kemenangan multak buat skuad The Titans.