PASUKAN berstatus kelab T-Team berjaya mengekalkan rentak kemenangan apabila menewaskan Selangor 1-0 pada aksi saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Pada perlawanan itu kem tuan rumah terlebih dahulu mencemaskan gawang pelawat menerusi hantaran silangan Mohd Nor Hakim Hassan seawal minit keempat perlawanan, bagaimanapun Farhod Tadjiev sedikit lewat meluru ke pintu gol Selangor.

Tersentap dengan percubaan awal itu, kem pelawat mula mengatur serangan balas dan turut berpeluang membuka jaringan hasil sepakan percuma, Juliano Mineiro Fernandes pada minit ketujuh, namun tandukan Francis Forkey Doe gagal menepati sasaran.

Tuan rumah yang menggandakan asakan hampir menemui sentuhan gol menerusi sepakan percuma yang dilakukan dengan kemas Mohd Arif Fadzilah Abu Bakar tetapi tandukan lemah Dilshod Sharofetdinov berjaya dinafikan Md Khairulazhan Md Khalid pada minit ke-16.

Tujuh minit selepas itu, kem tuan rumah sekali lagi menguji gawang pelawat menerusi hantaran pendek Mohd Badrol Hisyam Morris tetapi rembatan Mahamadou Samassa sedikit tersasar.

Selangor yang berjaya melepasi benteng pertahanan tuan rumah nyaris menamatkan kebuntuan gol menerusi dua percubaan tepat Francis Frokey Doe (minit 32) dan Muhammad Syahmi Safari (minit 36), bagaimanapun gagal melepasi kawalan ketat, Mohd Hafidz Romly.

Seminit selepas itu giliran tuan rumah pula melakukan percubaan ke arah pintu gol Selangor ,namun Md Khairulazhan berjaya menepis keluar rembatan Farhod Tadjiev sebelum Mohd Nor Hakim Hassan turut buntu dalam meledakan gol buat T-Team pada minit ke-40 sekaligus membawa perlawanan ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua masing-masing memperkemaskan rentak permainan dengan berbalas serangan bagaimanapun kem tuan rumah gagal memanfaatkan peluang keemasan dalam menamatkan kebuntuan gol hasil gerakan cantik Mohd Nor Hakim Hassan pada minit ke-60 tetapi dipersia-siakan pemain gantian, Muhammad Fauzi Abdul Kadar.

Enam minit selepas itu pelawat turut menguji gawang gol T-Team, bagaimanapun rembatan leret Francis Forkey Doe mudah dinafikan Mohd Hafidz Romly.

T-Team yang mempamerkan aksi lebih berdisplin akhirnya berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-88 menerusi pemain gantian Muhammad Fauzi Abdul Kadar sekaligus membantu tuan rumah meraih tiga mata penuh sehingga tamat perlawanan.