LIGA Bola Sepak Rakyat (LBR) 2016/17 yang kini memasuki musim kedua semakin rancak dengan perebutan ke peringkat kebangsaan.

Namun untuk menempah laluan tersebut, juara setiap kumpulan dalam lapan zon perlu melalui pusingan playoff yang kini sedang berlangsung untuk merebut dua kedudukan teratas.

Berita gembira pastinya menjadi milik Rembau dan Jempol dari Zon Selatan yang sudah menempah tempat ke peringkat kebangsaan secara automatik kerana Zon Selatan sekadar mengumpulkan dua kumpulan.

Rembau yang dibimbing bekas pertahanan kebangsaan, Zainnoddin Hussain, menjuarai Kumpulan 2 dengan mengatasi Port Dickson, Melaka Tengah, Tampin dan Jasin manakala K. Rajan, bekas pemain sayap kanan negara, membantu Jempol menjuarai Kumpulan 1 yang dianggotai Kuala Pilah, Seremban dan Alor Gajah.

Dari Zon Borneo 2, iaitu Sarawak, Limbang, Kapit dan Serian akan bertarung untuk merebut dua tempat, manakala Kerian, Manjung dan Hlir Perak bersaing dalam play-off Zon Barat.

Untuk play-off Zon Tengah 1, Muadzam Shah, Raub dan Paya Besar bersaing manakala Kota Marudu, Wilayah Persekutuan Labuan, Keningau dan Tawau berebut tempat.

Zon Utara menampilkan Langkawi, Kangar dan Kota Setar manakala Zon Timur Gua Musang, Bachok dan Setiu.

Dari Zon Tengah 2, Maran akan bertemu sama ada Cheras atau Hulu Langat dengan Lipis atau Bera.

Antara pasukan yang tersungkur awal termasuk juara bertahan, Kuching, Temerloh yang mara ke separuh akhir musim lalu, Klang, Papar, Miri dan Jeli.

Beberapa perlawanan yang bakal berlangsung esok antaranta Muadzam Shah yang akan menerima kunjungan Raub di Padang A Muadzam petang esok bagi aksi playoff Zon Tengah 1.

Jurulatih tuan rumah, Azahari Ismail, berkata lawan sudah pasti bertekad untuk menebus kekalahan 0-3 di Stadium Mini Temerloh itu sekali gus cuba mencerahkan kemaraan mereka ke Peringkat Kebangsaan LBR.

“Saya kerap berpesan kepada pasukan supaya sentiasa kekal fokus dengan misi utama kami untuk mara ke peringkat kebangsaan menerusi playoff.

“Kami sedar dengan dendam kekalahan lalu itu, Raub pasti lebih bersedia dan berazam tinggi untuk menang dan menjadi tanggungjawab kami untuk memperkemaskan setiap bahagian serta bermain habis-habisan,” katanya.

Muadzam Shah, kata Azahari, turut berharap keadaan cuaca panas kering seperti dua tiga hari kebelakangan ini terus menyebelahi perlawanan ini walaupun mereka berjaya mengharungi tiga aksi liga Kumpulan 1 Zon Tengah 1 lalu dalam hujan.