PERSATUAN Bolasepak Pulau Pinang (FAP) kini memberi tumpuan penuh kepada pembangunan akar umbi dan pelapis yang akan memperkuatkan pasukan utamanya pada masa hadapan.

Mengambil kira perkara tersebut, beberapa kaedah kini sedang dilaksanakan melalui kerjasama yang dilakukan bersama beberapa buah sekolah di seluruh negeri Pulau Pinang.

Naib Presiden FAP, Mohd Azizuddin Mohd Shariff berkata, barisan kejurulatihannya membuat pemilihan membabitkan beberapa sekolah namun majoriti pemain pelapis hadir dari Sekolah Sukan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian.

Menurutnya, pihaknya serius untuk memastikan kesinambungan bakat-bakat dari akar umbi dapat diteruskan dari pasukan Piala Belia, Piala Presiden dan seterusnya kepada pasukan utama Pulau Pinang.

"Majlis FAP ada bentuk jawatankuasa untuk merangka dan mencadangkan satu polisi bagaimana mengekalkan bakat pemain-pemain muda dari peringkat Piala Belia hingga pasukan utama negeri sambil mengambil kira perbelanjaan kewangan secara lestari.

Hasil pembentukan pasukan dan keputusan awal yang diperolehi setakat hari ini ialah keupayaan memberangsangkan pasukan bawah 16 tahun Pulau Pinang yang memperolehi keputusan positif pada beberapa kejohanan sebelum ini dan terbaru bersaing di Kejohanan JSSL Professional 7s di Singapura," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Azizuddin berkata, pengalaman berguna diraih oleh pasukan pembangunan mereka apabila bertemu kelab lebih besar seperti Bangkok United dari Thailand, Fulham FC (England), Sporting Lisbon (Portugal), Perth Glory (Australia) dan JSSL FC (Singapura).

Jelasnya, dalam waktu yang sama pihaknya juga sedang menyiapkan pasukan bawah 14 tahun dari SMK Mutiara Impian untuk bersaing di kejohanan di China pada Ogos nanti.

"Kami menafikan cakap-cakap segelintir penyokong bahawa FAP tidak membantu atau mengalakkan kemajuan pasukan pembangunan di sekolah-sekolah Pulau Pinang.

Sebenarnya FAP memberi tumpuan dengan cara tersendiri di bawah kepimpinan baru, lebih terbuka dan ada kemahuan untuk pembangunan cuma kewangan sahaja membataskan namun ini tidak akan membantutkan hasrat FAP untuk melahirkan pelapis masa depan pemain bola sepak Pulau Pinang," katanya.

Tambah Mohd Azizuddin, perancangan pembangunan di peringkat akar umbi beberapa pasukan seperti Kedah dan Perak boleh dijadikan contoh oleh pengurusannya untuk menambah baik mutu  pasukan dari semasa ke semasa.