PEKAN – Identiti mayat seorang lelaki yang ditemui terapung di tepi Sungai Kampung Parit, Pekan dikenal pasti sebagai Kasim Hassan, 34.

Mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) dikatakan hilang oleh ahli keluarganya sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, mayat mangsa ditemui penduduk kampung kira-kira jam 3.40 petang kelmarin sebelum memaklumkan kepada polis.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, beberapa anggota dikerah ke lokasi untuk  pemeriksaan dan mengesahkan berhubung penemuan mayat terbabit.

“Mayat mangsa diangkat dan dibawa ke tebing dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat,” katanya.

Yahaya berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan hasil laporan diterima mengesahkan mangsa mati akibat lemas.

"Kematian lelaki itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah kerana hasil siasatan awal juga mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuhnya.

“Berdasarkan maklumat daripada keluarga juga mengesahkan bahawa mangsa dipercayai jatuh ke dalam sungai ketika merayau-rayau,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat keluarga juga, mangsa mengalami masalah mental dan gemar merayau-rayau di sekitar tebing sungai berhampiran rumah malah pernah tidak pulang beberapa hari.

“Ahli keluarga menyedari kehilangan lelaki itu sejak beberapa hari lalu namun tiada laporan dibuat sehingga mayatnya ditemui kelmarin,” katanya.

Difahamkan, jenazah mangsa dituntut keluarga untuk dikebumikan selepas dibedah siasat.