JENDELA perpindahan pemain yang sudah tamat menyaksikan Melaka United melakukan rombakan besar-besaran dalam usaha memastikan mereka kekal dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Misi hidup atau mati ini menyaksikan Melaka United membawa masuk lapan pemain baharu, termasuk tiga pemain import, dalam usaha memperkukuhkan

pasukan bagi menghadapi pusingan kedua Liga Super serta saingan Piala Malaysia.

Tiga pemain import baharu yang diikat Melaka United adalah bekas penyerang

Negeri Sembilan, Marko Simic, 29; pemain tengah Kelab Oeste FC kelahiran Brazil, Felipe Almeida de Souza, 26, serta pemain pertahanan Pellister FC kelahiran Macedonia, Jasmin Mecinovic, 27.

Kehadiran Simic sebagai penyerang  Melaka United sekali gus bermakna penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Ilija Spasojevic, dilepaskan skuad Hang Tuah.

Melaka United pada asalnya menjadikan pemain Nigeria, Dudu Omagbemi, sebagai sasaran menggantikan Spasojevic tetapi hasrat berkenaan terpaksa dilupakan berikutan masalah mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain terbabit.

Pemain tempatan yang diambil Melaka United bagi memperkukuhkan pasukan. (Dari kiri) Sivanesan, Azinee, Fandi dan Nicholas Ryan.

Selain Spasojevic, dua lagi pemain import yang diikat awal musim ini iaitu pemain pertahanan Godwin Antwi dan penyerang Sergio Aguero turut dilepaskan.

Pada masa sama, lima pemain tempatan, termasuk tiga yang dipinjam dari pasukan JDT II, akan turut menyarung jersi Melaka United untuk baki saingan Liga Super musim ini.

Ketiga-tiga pemain JDT II yang dipinjam itu adalah Fandi Othman, Nicholas

Ryan Swirad dan Azinee Taib. Selain itu, Melaka United turut mengambil pemain tengah Perak, Nur Hakim Isa serta S Sivanesan dari PKNS FC.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa), Datuk Mohd Yusof Mahadi berkata, rombakan terbabit terpaksa dilakukan ekoran prestasi kurang memberangsangkan yang ditunjukkan Melaka United sepanjang saingan Liga Super setakat ini.