PASUKAN Kelantan terus mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super Malaysia 2017 apabila berjaya mengalahkan Felda United FC dengan gol 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, di Pusat Bandar Jengka, sebentar tadi.

Gol pertama Kelantan dijaringkan pada minit ke 33 oleh sepakan Indra Putra Mahayuddin.

Tidak mahu ketinggalan, Felda United menyusuli gol tersebut pada minit ke 45, menerusi sepakan Zah Rahan Krangar.

Pada minit ke 89, Kelantan membuat jaringan kedua menerusi sepakan Mohamad Ghaddar menjadikan kemenangan berpihak kepada pasukan tersebut.

Terdahulu, pada minit ke 45, pasukan Kelantan membuat pertukaran pemain dengan mengeluarkan Kapten Pasukannya, Mohd Badhri Mohd Radzi kerana cedera ketika perebutan bola. Beliau digantikan pemain berjersi nombor dua, Mohd Norhafiz Zamani Misbah.

Tambahan masa untuk perlawanan separuh masa pertama ialah dua minit.

Separuh masa kedua menyaksikan cubaan Felda United menerusi sepakan Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri seakan memberi peluang gol baharu tetapi gagal pada minit ke 55.

Beberapa saat selepas itu, kad kuning pertama dilayangkan kepada Mohd Farisham Ismail dari pasukan Kelantan memberikan sepakan percuma luar kotak penalti kepada Felda United. Bagaimanapun sepakan yang dibuat oleh Muhammad Hadin Azman, gagal membolosi gawang Kelantan.

Minit ke 57 pasukan kelantan sekali lagi membuat penukaran pemain dengan mengeluarkan Zairul Fitree Ishak dan memasukkan Hattaphon Bun An.

Seterusnya pada minit ke 60 cubaan Kelantan hampir membolosi gawang Felda United menerusi sepakan Hattaphon.

Minit ke 68 pasukan Felda United membuat penukaran pemain yang pertama dengan mengeluarkan Gaston Andrea Javier Cellerini dan memasukkan Muhammad Fakrul Aiman Sidid.

Cubaan demi cubaan dilakukan, tandukan Muhammad Fakrul Aiman Sidid dari pasukan Felda United tersasar dari gawang pada minit ke 76.

Selepas Kelantan membuat penukaran yang ketiga, Felda United membuat penukaran kedua pula pada minit ke 81 dengan mengeluarkan Muhammad Hadin dan memasukkan Lucas Matias Cano.

Kemenangan itu menjadikan peluang Kelantan untuk mara ke peringkat seterusnya dan mengekalkan kedudukan baik dalam kejuaraan Liga Super Malaysia 2017, semakin cerah.

Felda United tewas dalam aksi liga di gelanggang sendiri.