"SAYA tak sangka boleh tercalon untuk terima anugerah ini," itu reaksi spontan pemain skuad Liga Super Perak, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri berhubung pemilihannya bagi Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Asiana.My Edisi Julai 2016.

Katanya, sebaik dicalonkan, dia mendapati ramai pemain berkaliber termasuk pemain import yang turut dicalonkan bagi anugerah berkenaan.

"Saingan cukup hebat. Itu sebab saya tak sangka akan terpilih untuk terima anugerah ini.

"Terima kasih kepada semua pihak terutamanya pihak pengurusan pasukan yang memberi peluang untuk saya beraksi dalam beberapa perlawanan hingga berjaya jaringkan gol dengan bantuan rakan-rakan sepasukan," katanya.

Fazrul Hazli berkata demikian sempena majlis Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM Asiana.My Edisi Julai 2016 si sebuah hotel terkemuka, tengahari tadi.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Perak, Kark Heinz Weigang berbangga dengan pemilihan Mohd Fazrul bagi anugerah berkenaan.

Malah jurulatih kelahiran Jerman itu turut memberi cendera hati sebagai tanda penghargaannya kepada pemain berkenaan.