KEENGGANAN mengikut arahan untuk berada bersama pemain The Bos Gaurus antara faktor menyebabkan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mengambil keputusan menggantikan Ahmad Shahrul Azhar Sofian dengan pengurus baharu skuad Liga Super Perak.

Presiden Pafa, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, pihaknya memberikan tugas sepenuhnya kepada Ahmad Shahrul Azhar untuk berada bersama dengan pasukan pada tiga perlawanan terakhir liga.

“Bila kita nilai dalam tiga perlawanan terakhir, kita harap Ahmad Shahrul akan berada bersama pemain dan dalam sidang media juga kita beritahu dia diberikan tugas sepenuhnya untuk bersama dengan pasukan.

“Bila pertemuan PKNS FC,  beliau berada dengan penyokong dan ini beri sedikit ketidakselesaan kepada pihak pengurusan tertinggi.

“Lanjutan daripada itu, kita rasakan perlunya  buat perubahan di peringkat pengurusan dan kita putuskan Timbalan Presiden (Datuk Adli Shah Ahmad Tah) sebagai pengurus pasukan dan Datuk Irudianathan sebagai penolong pengurus,” katanya.

Hasnul berkata demikian bagi mengulas berhubung isu perlantikan pengurus skuad Liga Super Perak yang baharu yang hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong Perak, khususnya dimedia sosial.

Tambah Hasnul Zulkarnain, keputusan melantik pengurus baharu bagi menggantikan Ahmad Shahrul yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) sebenarnya dibuat  oleh Jawatankuasa Eksekutif badan induk bola sepak negeri itu.

Katanya, keputusan berkenaan sememangnya daripada Ahli Majlis Pafa sendiri yang mahukan pertukaran pengurusan.

“Perkara berkenaan adalah  perkara biasa dalam mana-mana pertubuhan khususnya apabila pucuk pimpinan bertukar.

“Kita perlu ada satu team yang boleh bekerjasama dengan erat bersama presiden, timbalan presiden, staf sokongan termasuklah setiausaha. Ini adalah perkara biasa dan janganlah berterusan dipolitikkan,” katanya.

“Sekali lagi saya tegaskan, tak ada pengaruh politik,” katanya.