PENYERANG The Red Warriors, Mohd Norfarhan Muhammad sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada kempen Piala Malaysia apabila mengalami kecederaan serius sekali gus memaksa dia berehat panjang sehingga akhir musim ini.

Norfarhan atau lebih dikenali panggilan Ben10 mengalami kecederaan tendon tumit ketika beraksi bersama pasukannya menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Ekoran kecederaan tersebut, pemain kelahiran Wakaf Tapai, Terengganu itu terpaksa melupakan hasrat membantu pasukannya untuk melangkah lebih jauh dalam pertandingan piala paling berprestij itu.

“Sesuatu yang cukup berat dan menyedihkan bagi saya kerana perlu berehat sekurang-kurangnya tiga bulan sedangkan Kelantan berdepan saingan sengit dalam Piala Malaysia ketika ini.  

“Saya sendiri tak pasti bagaimana kecederaan ini boleh berlaku. Tiba-tiba kaki kiri berasa lembik, saya minta fisioterapi masuk ke dalam padang dan ketika itu saya rasa tak mampu meneruskan permainan lagi.

Ben10 kepada demikian kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan Exco Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Azlan Mohd Yusof dan Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK), Rozamri Md Ali bersama ahlinya, semalam.

Norfarhan yang selamat menjalani pembedahan selama dua jam di sebuah pusat perubatan di Kota Bharu, semalam memberitahu, laporan doktor mengesahkan tisu tendon koyak selepas tercucuk serpihan tulang tumitnya.

“Ini kali ketiga saya alami kecederaan teruk sejak menjadi pemain bola sepak kira-kira 10 tahun lalu. Sebelum ini, cedera buku lali ketika wakili Terengganu pada 2006 dan patah siku,” katanya.

Sementara itu, Norfarhan berkata, berkata, biarpun tanpa kelibatnya namun dia optimis Kelantan akan mara ke peringkat suku akhir.