KUALA LUMPUR - Sesetengah pihak menganggap Nabi Muhammad SAW berhijrah dalam bulan Muharam adalah andaian yang tidak tepat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan bahawa bulan Muharam adalah bulan pertama yang dipilih oleh Saidina Umar al-Khattab untuk kiraan bulan bagi tahun hijrah.

"Maksudnya, 12 bulan dalam satu tahun, Saidina Umar membuat keputusan untuk memilih Muharam sebagai bulan pertama bagi tahun hijrah.

"Ini seperti bulan Januari bagi tahun masihi. Maka, telah berlaku salah faham sesetengah pihak lalu menganggap Nabi  berhijrah dalam bulan Muharam,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook miliknya, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dahulu, orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun, namun hanya mempunyai kiraan bulan dengan nama bulan seperti yang digunakan oleh umat Islam.

"Nama bulan-bulan hijrah kita hari ini diambil dari nama bulan-bulan Arab. Cumanya, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun masihi mereka.

"Di zaman Saidina Umar, umat Islam mencadangkan diwujudkan kiraan tahun bagi kalendar umat Islam dan pelbagai cadangan diberi termasuk tahun kelahiran Nabi untuk dijadikan tahun pertama kiraan kalendar umat Islam,” katanya.

Menurutnya, Saidina Umar kemudiannya bersetuju tahun Nabi  berhijrah dijadikan tahun pertama kiraan tahun dalam kalendar umat Islam.

"Kemudian timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan pertama dan pelbagai cadangan diberikan, termasuk bulan Ramadan.

"Namun, Saidina Umar menolaknya kemudian memilih bulan Muharam kerana disebabkan di bulan tersebut umat Islam baru sahaja selesai ibadah haji. Bukan kerana bulan itu Nabi berhijrah,” jelasnya.

Langkah tepat

Justeru beliau berkata, penetapan kalendar hijrah yang dibuat oleh Saidina Umar adalah langkah yang tepat bagi memenuhi keperluan urusan pentadbiran dan kehidupan umat Islam.

"Walaupun idea itu bermula daripada cadangan meniru cara pengurusan bukan Muslim, tetapi meniru bukan Muslim dalam perkara yang bukan ibadah dan pula dapat memberikan faedah kepada umat Islam adalah sesuatu yang diizinkan, bahkan disuruh oleh Islam.

"Langkah Saidina Umar itu telah bantu pengurusan dan pentadbiran umat Islam sepanjang zaman. Maka, penetapan tarikh bagi tahun hijrah bukanlah bagi mewujudkan satu upacara agama, tetapi untuk urus tadbir umat,” katanya.

Tiada ibadah khusus

Beliau berkata, disebabkan penetapan tahun hijrah berlaku pada zaman Saidina Umar bukannya pada zaman Rasulullah, maka sudah pastilah tiada apa-apa upacara ibadah khusus dilakukan sempena tahun baru hijrah ini.

"Tiada apa-apa upacara ibadah khusus seperti solat khusus, puasa khusus atau bacaan khusus sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun baru hijrah belum bermula pada zaman Baginda,” katanya.

Menurutnya, setiap manusia disuruh berazam ke arah lebih baik, sama ada menjelang tahun baharu atau tidak, kerana itulah kehidupan dan jiwa seorang Muslim.

"Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik atau meninggalkan keburukan dan itulah jalan hidup yang patut kita fahami dan hayati. Sikap golongan soleh sepanjang zaman adalah mereka yang sentiasa memohon kebaikan dan sentiasa beristighfar,” ujarnya.

Beliau berkata, jika tahun baharu hendak diingati atau dihayati, mungkin di sudut kedatangan tahun baharu boleh menjadi pemangkin semangat dan azam.