ALOR SETAR - Siapa yang akan menjadi Menteri Besar Kedah jika Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13)?

Pada kebiasaannya, calon untuk menggalas tugasan sebagai ketua eksekutif negeri dipilih daripada kalangan pemimpin kanan parti, terutama pengerusi perhubungan Umno atau menteri kabinet yang dibawa balik ke negeri.

Agak menarik apabila beberapa nama disebut calon untuk menduduki jawatan itu termasuk Datuk Bashah Ahmad Hanipah (Pengerusi Umno Kedah), Datuk Mukhriz Tun Mahathir (Timbalan Pengerusi Umno Kedah) dan Datuk Jamil Khir Baharom (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Jamil Khir yang dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Kedah mungkin terkeluar daripada senarai itu apabila dipilih bertanding kerusi Parlimen Jerai. 

Bashah memang layak menjadi menteri besar setelah memegang jawatan nombor satu parti di Kedah sejak beberapa tahun lalu menggantikan Datuk Seri Shapie Apdal. Beliau juga antara Adun paling lama berkhidmat di negeri ini.

Namun, nama Mukhriz juga tidak boleh diketepikan apabila hanya bertanding kerusi Dun Ayer Hitam. Sebelum ini, beliau disebut-sebut bertanding dua kerusi termasuk Parlimen Jerlun yang dimenanginya pada 2008.

Dengan berpaut pada satu kerusi Dun saja memperlihatkan komitmen dan tumpuan Mukhriz untuk berada di dalam kawasannya dan negeri ini sahaja pada setiap masa selepas PRU13.

Namun mengambil kira senario politik semasa termasuk usaha BN merancakkan pembangunan dan ekonomi Kedah, jawatan itu mungkin lebih berpihak kepada Mukhriz berikutan pendedahan yang diterima ketika menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Perlis juga akan dapat MB baru

Perlis juga akan mendapat menteri besar baru setelah penyandang jawatan itu, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu tidak dicalonkan dalam PRU13. Ketika mengumumkan senarai calon BN Perlis, semalam, Md Isa berkata, pengunduran itu dibuat atas faktor kesihatan dan memberi laluan kepada muka baru.

Berdasarkan senarai calon yang akan bertanding, timbul beberapa nama yang berpotensi untuk memikul tugas di negeri berkenaan. Datuk Ismail Kassim, bekas Ahli Parlimen Arau yang kini bertanding kerusi Dun Tambun Tulang dilihat mempunyai pengalaman dan pendedahan luas dalam politik ketika era abangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi menteri besar.

Beliau pernah disebut-sebut menduduki jawatan itu ketika PRU12 apabila Shahidan mahu undur diri. Bekas Adun Pauh, Datuk Seri Syed Razlan Jamalullail, yang sebelum ini exco kanan juga pernah dikatakan bakal menjawat jawatan itu tetapi mungkin tidak kesampaian apabila tidak dicalonkan dalam pilihan raya kali ini.

Exco Agama, Jefpari Othman juga disebut-sebut bakal menduduki kerusi itu selepas PRU13 berdasarkan pengalamannya dalam pentadbiran dan bekas guru.

Namun kini, timbul satu lagi muka baru iaitu calon kerusi Dun Pauh, Azlan Man. Sebelum ini, beliau menjadi Timbalan Ketua Pengarah, Biro Pengaduan Awam di Jabatan Perdana Menteri.
Dengan pengalaman luas dalam perkhidmatan awam, kemungkinan Azlan menjadi Menteri Besar Perlis baru tidak mustahil selepas PRU13.

Najib sebut nama Chang Yeow jika BN menang

ementara itu, Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow disebut sebagai calon ketua menteri jika komponen itu mendapat semula mandat daripada penduduk negeri ini.  Namanya disebut sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri satu program di negeri ini tahun lalu.
Chang Yeow sebelum ini pernah menjadi Adun Padang Kota, setiausaha politik kepada ketua menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Exco Pelancongan dalam pentadbiran kerajaan negeri.