KUALA LUMPUR - Suatu pendedahan yang agak memeranjatkan bahawa ramai rakyat Malaysia membelanjakan hampir separuh daripada gaji bulanan mereka untuk membayar hutang. Lebih memeranjatkan ialah ramai daripada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam mengalami krisis hutang sehingga 60 peratus daripada gaji bulanan mereka digunakan untuk membayar hutang.

Di mana silapnya? Mengapa krisis hutang rakyat di negara ini membimbangkan sehingga ada laporan mengatakan ramai generasi muda di negara ini muflis kerana hutang.

"Hutang tidak bersalah, yang bersalah individu itu," kata Felo Pusat Perundingan dan Latihan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Azrina Sobian kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ceramah pada bengkel 'Urus Wang, Urus Hutang' anjuran Ikim di sini.Tidak semua hutang memudaratkan, malah ada hutang yang menguntungkan, maka kebolehan individu itu untuk menilai yang mana hutang baik dan yang mana hutang buruk itu penting, kata Azrina.


HUTANG BAIK, HUTANG BURUK
                
"Hutang baik merupakan hutang yang mendatangkan faedah seperti hutang membeli rumah, di mana hutang ini akan memberikan aset yang bernilai untuk kita. Nilai aset ini meningkat dari semasa ke semasa, maka hutang ini adalah hutang yang baik. Selain itu pinjaman pelajaran dan perniagaan juga boleh dikategorikan sebagai hutang baik," katanya.

Azrina menjelaskan bahawa hutang buruk melibatkan hutang yang tidak mendatangkan faedah kewangan seperti membeli barang yang mempunyai jangka hayat kurang daripada tempoh bayaran hutang itu.Beliau memberi contoh bercuti merupakan perkara yang baik, namun sekiranya individu itu berhutang untuk pergi bercuti, ia akan menjadi sesuatu yang tidak baik. Dalam Islam, berhutang adalah harus sekiranya mempunyai sebab yang kukuh antaranya perjuangan agama, mengurus jenazah, berkahwin, bencana alam dan kerugian dalam perniagaan.


PERANGKAP KAD KREDIT
                
Tidak dinafikan kad kredit merupakan penyumbang utama hutang warga Malaysia,namun sekali lagi hutang itu bukan masalahnya.

"Rakyat di negara ini sememangnya tahu kad kredit adalah sejenis hutang yang perlu dibayar, tetapi mereka tidak ingat perkara ini ketika berbelanja. Inilah masalahnya," kata Azrina.

Daripada jumlah pemilik kad kredit di Malaysia, 34 peratus daripada mereka memiliki satu kad kredit, dua kad kredit (34 peratus), tiga kad kredit (25 peratus), empat kad kredit (lima peratus), lima kad kredit (satu peratus) dan lebih lima kad kredit (satu peratus).

Beliau berkata pemegang kad perlu menyedari tujuan kegunaan kad kredit yang sebenar iaitu memudahkan pembelian dan bagi tujuan kecemasan.

"Sikap yang selalu ada bila dapat kad kredit ialah mereka belanja tanpa mengira sama ada mereka mampu bayar atau tidak kad kredit itu, ada yang hanya fikir mampu bayar jumlah minimum, sudah cukup. Ini salah sebenarnya. Amalan terbaik ialah kita bayar jumlah yang dibelanjakan menggunakan kad kredit bulan itu dengan gaji bulan itu sendiri, bukan bayar minimum atau sesuka hati," katanya tidak salah memiliki kad kredit kerana ia merupakan alat yang mampu membantu menguruskan kewangan peribadi yang baik sekiranya digunakan dengan betul.


MENGURUS HUTANG
                
Menurut Azrina, individu yang mempunyai masalah hutang kad kredit selalunyamemiliki lebih daripada dua kad kredit.

"Bila ada empat kad kredit contohnya, cara terbaik untuk selesaikan hutang ialah tidak aktifkan tiga kad kredit, satu simpan untuk kecemasan jika belum sampai had. Bayar jumlah minimum empat kad kredit ini setiap bulan. Pilih satu kad kredit dengan bunga tertinggi. Bayar kad kredit itu lebih daripada minimum ikut kemampuan. Bayar satu demi satu kad kredit itu sehingga habis," katanya.

Beliau berkata kedudukan hutang yang sihat ialah bayaran bulanan hutang itu kurang daripada 30 peratus gaji bulanan individu berkenaan. Katanya strategi penyelesaian hutang terbaik ialah hutang dengan kadar faedah tertinggi dan jumlah paling sedikit adalah hutang yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

"Selalunya bila disenaraikan, kad kredit ialah hutang teratas yang perlu diselesaikan, diikuti pinjaman peribadi, rumah dan kenderaan.


BILA UNTUK BERHENTI BERHUTANG
                
Beliau berkata tidak perlu bagi seseorang itu langsung tidak berhutang, namun seseorang itu perlu berhenti berhutang sekiranya mempunyai bayaran hutang bulanan melebihi 30 peratus daripada gaji bulanan.

"Masalahnya orang berhutang, mereka berbelanja lebih daripada kemampuan, kemudian mereka mula berhutang untuk menampung perbelanjaan. Mereka terus menerus berhutang untuk menampung 'gap' yang semakin lama semakin besar ini. Akhirnya kesemua pendapatan mereka digunakan membayar hutang," katanya.

Azrina berkata individu seperti ini perlu mendapatkan bantuan daripada agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit sekiranya menghadapi
masalah hutang terlalu serius.

"Sentiasa ingat, aspek terpenting dalam penyelesaian hutang ialah sentiasa menanam kepercayaan bahawa hutang itu boleh diselesaikan. Paling penting berbelanja ikut kemampuan, anda adalah kunci penyelesaian masalah hutang anda sendiri," katanya.- Bernama