SERDANG – Suspek kedua kes samun dan rogol di sebuah pusat judi di Bandar Kinrara, Puchong yang tular di laman sosial sebelum ini maut terjatuh dari tingkat 12 PPR Semarak, Setapak ketika serbuan polis di sebuah unit rumah di pangsapuri itu malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 malam, suspek berusia 22 tahun dikatakan cuba melarikan diri dengan bergayut di jeriji dapur untuk ke tingkat bawah selepas menyedari kehadiran pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan  JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, dalam serbuan itu polis mengetuk pintu beberapa kali sambil memperkenalkan diri namun penghuni enggan membuka pintu.

Menurutnya,  polis kemudian bertindak memotong kunci mangga dan memecahkan pintu unit rumah berkenaan.

“Sebaik masuk, terdapat seorang lelaki dan wanita berada di ruang tamu, pasukan serbuan terdengar bunyi barang terjatuh di bahagian dapur dan terus membuat pemeriksaan.

“Ketika itu suspek didapati bergayut di jeriji bahagian luar dapur dan ingin ke unit bawah untuk melarikan diri. Polis memujuk suspek untuk masuk ke dalam dan menyerah diri tetapi dia enggan berbuat demikian sebelum terjatuh,” katanya.

Megat Mohammad berkata, suspek ditemui terbaring di tingkat bawah dan masih bernafas dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba.

Sebelum ini akhbar melaporkan suspek pertama warga tempatan berusia 26 tahun ditahan di rumahnya di Kuala Selangor pada 14 Mei lalu selepas dipercayai terbabit dalam kes yang menjadi tular di laman sosial sejak 12 Mei lalu.

Mangsa rogol warga Indonesia dan seorang lagi pekerja warga Bangladesh yang menghilangkan diri selepas membuat laporan polis beberapa hari selepas kejadian dilapor berlaku.

Video kejadian tular sejak 12 Mei lalu itu merakam kelibat dua lelaki merogol seorang wanita secara bergilir-gilir dalam sebuah premis judi pada 11 Mei lalu.