KUALA ROMPIN - Beberapa mesej berangkai yang tular, hari ini kononnya berlaku beberapa kes kanak-kanak nyaris diculik di sekitar Kuala Rompin adalah tidak benar.

Mesej yang tidak dinyatakan sumber itu disebarkan oleh pengguna aplikasi WhatsApp sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Antaranya mesej itu menyatakan bahawa ada kanak-kanak nyaris ditangkap di Kampung Merlak dan Taman Exora oleh lelaki berambut panjang namun melarikan diri menaiki kenderaan setelah gagal.

Turut tular mesej yang menyatakan ada kes culik budak di Johor dan mangsa dijumpai dalam keadaan semua organ dalamannya sudah tiada serta meminta orang ramai agar berhati-hati.

Mesej turut disertakan gambar mangsa dan suspek yang dikatakan berasal dari Menggatal, Sabah.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azli Mohd Noor yang dihubungi menafikan berlakunya kes-kes berkenaan.

Beliau turut mengakui menerima pertanyaan daripada pelbagai pihak dan orang awam yang mahu mendapatkan pengesahan selepas menerima mesej itu.

"Kita tidak menerima laporan berkaitan kes-kes sedemikian, namun bagi kes di Taman Exora tu suspek cuba nak mencuri dengan membuka kereta yang parkir di kawasan berhampiran sebuah tadika di taman itu tetapi gagal.

"Saya sarankan agar masyarakat terutama pengguna media sosial tidak menyebarkan sesuatu mesej sebelum mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa kerana jika tidak benar maka ia menjadi perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab," katanya.