ALOR GAJAH - Sebuah lori tiga tan yang merintangi lebuh raya dirempuh tiga kali, mengakibatkan dua maut dalam kemalangan Kilometer 197.3 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke selatan, berhampiran Alor Gajah di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi membabitkan lima kenderaan itu, Muhammad Farid Mazlan, 27, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor, sementara Mohammad Fakhrulrazi Baharuddin, 28, seorang jurutera, maut di tempat kejadian kerana cedera parah.

Muhammad Farid memandu kereta jenis Perodua MyVi dalam perjalanan ke Johor Bahru selepas bercuti sempena Aidilfitri selama seminggu.

Mangsa dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah lori tiga tan yang sebelum itu telah merempuh bahagian belakang sebuah treler.

Sumber berkata, kemalangan menyebabkan kenderaan mangsa terhumban ke tebing lebuh raya, sementara lori terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan tengah sehingga merentangi jalan.

"Pemandu lori, Rosli Md Nor, 37, tersepit di tempat duduk selepas merempuh treler dan kemudian dirempuh pula oleh mangsa di bahagian belakang.

"Mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.


Dengar jeritan pemandu lori

Menurutnya, selang 30 minit kemudian, Mohammad Fakhrulrazi yang menunggang motosikal Kawasaki Versys turut merempuh lori terbabit menyebabkan mangsa tercampak ke tebing lebuh raya.

"Beberapa saat kemudian, sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki empat sekeluarga dipandu Ahmad Faisal Azizan, 29, bersama isteri, Putri Hasmiza Irdawati, 29, serta dua anak mereka, Muhammad Faiz Irfan, 4, dan Nur Farzanah Irdina, 1, merempuh bahagian tepi lori terbabit," katanya.

Saksi kejadian, Mohd Farhan Mohd Asri, 23, berkata, dia cuba membantu pemandu kereta Perodua MyVi tetapi gagal berikutan pintu kereta mangsa tidak dapat dibuka.

"Pada masa sama, saya mendengar jeritan pemandu lori yang meminta tolong tetapi saya tidak dapat membantu kerana lorinya berada di tengah jalan dan  terpaksa menunggu anggota peronda lebuh raya tiba.

"Sementara itu, saya lihat empat sekeluarga yang menaiki kereta Proton Saga berjaya menyelamatkan diri ke tepi lebuh raya," katanya yang mengakui panik dengan kejadian itu dan pantas menghubungi bantuan kecemasan sebelum sepasukan anggota Jabatan Pertahanan
Awam Malaysia (JPAM) serta anggota bomba Alor Gajah tiba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Ketua Operasi JPAM, Mohd Rizuan Rahmat berkata, tiga anggotanya bersama sepasukan anggota Skuad Penyelamat Integrasi (SPI) bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam.

“Kedudukan mangsa yang tersepit rapat di bahagian tempat duduk penumpang menyukarkan operasi. Kami berjaya mengeluarkannya selepas 30 minit," katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian tersebut.

"Pemandu lori mengalami kecederaan parah di kaki akibat tersepit dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan, sementara empat sekeluarga  menaiki kereta Proton Saga mengalami kecederaan ringan.

“Mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.


Isteri pantang anak pertama

Isteri Allahyarham Muhammad Farid, Nurul Ain Suhari, 20-an, yang sedang berpantang selepas melahirkan anak pertama, Muhammad Mikhail Zain Muhammad Farid, berusia 20 hari reda dengan pemergian suaminya itu.

Sementara itu, isteri Allahyarham Mohammad Fakhrulrazi, Ily Zafirah Shahrinan, 27, berkata, dia tidak menyangka permintaan agar kedua ibu bapanya tingal di rumahnya lebih lama adalah petanda dia mahu meluangkan masa bersama mereka.

“Bapa, Shahrinan Ibrahim, 53, dan ibu saya, Zan Abd Ghani, 53, pelik dengan permintaan suami yang seolah-olah menghalang mereka pulang namun hanya menurutkan sahaja permintaannya supaya pulang ke rumah malam ini (semalam),” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia terkilan kerana hasrat arwah suaminya untuk membeli sebuah rumah baru buat mereka sekeluarga tidak kesampaian.

"Lebih seminggu arwah bercuti sempena Hari Raya dan tiada reaksi pelik ditunjukkannya cuma arwah enggan membeli apa-apa barangan raya untuk dirinya tetapi melebihkan saya serta anak, Mohamad Adeeb Zuhayr berusia 20 bulan," katanya.