MEDAN - Latihan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) akan diadakan tiga tahun sekali berbanding empat tahun sebelum ini, kata Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Md Zin.

Katanya kekerapan Latihan Gabungan Bersama Darat, Samudera dan Angkasa Malaysia-Indonesia (LATGAMBA MALINDO DARSASA) itu dipersetujui kedua-dua negara dalam usaha mempertingkatkan kawalan keselamatan serantau.

Selain mengeratkan hubungan kedua-dua negara, latihan yang lebih kerap itu mampu membentuk keseragaman sebagai satu pasukan dan mengatasi perbezaan kaedah yang digunakan setiap pasukan.

"Kekerapan latihan antara kedua negara ini tepat pada masanya memandangkan kedua-dua pihak yang berkongsi sempadan perlu meningkatkan kerjasama dalam membanteras jenayah antara sempadan antaranya keganasan atau ancaman terrorism," katanya pada upacara pembukaan eksesais siri ke-8 di Lapangan Lanud Suwando,Bandara Polonia, Medan, Sumatera Utara, di sini pada Jumaat.

Turut hadir Panglima TNI Laksamana Agus Suhartono.

Zulkifeli berkata eksesais bersama kali kelapan itu merupakan permulaan untuk pelaksanaan latihan tiga tahun sekali berkenaan.

Indonesia merupakan tuan rumah eksesais kali ini yang melibatkan pasukan khusus (Gerup Gerak Khas, Pasukan Khas Tentera Udara dan Laut) dari ketiga-tiga cabang  perkhidmatan ATM dan TNI yang bermula dari 3 hingga 12 Jun ini.

Eksesais melibatkan 1,478 orang iaitu 290 anggota ATM dan tiga pegawai Polis Diraja Malaysia bersama dua pasukan anjing perang, manakala bakinya daripada TNI.   

Eksesais bertema 'Pasukan Komando Tugas Gabungan Bersama Menangani Keganasan' bersama dengan pasukan dan agensi lain dalam melaksanakan operasi gabungan bersama bagi menangani serangan pengganas dan impak bencana akibat keganasan yang berlaku di kedua negara.

Eksesais yang bermula pada 1984 itu merupakan antara program kerjasama ketenteraan dua hala kedua-dua negara. - Bernama