[DIKEMAS KINI, JAM 12 TENGAH MALAM] SHAH ALAM - Seorang pekerja ubah suai rumah maut manakala lima yang lain selamat dalam kejadian konkrit banglo di Seksyen 7 di sini, yang masih dalam proses pengubahsuaian, runtuh kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Bagaimanapun seorang daripada lima mangsa yang selamat terputus kaki dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan.

Kesemua mangsa merupakan pekerja dari Indonesia, berusia dalam lingkungan 30-an.

Kejadian berlaku di Jalan JED, 7/5, Seksyen 7, berhadapan dengan Kolej Kediaman Jati, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Mangsa dikeluarkan secara berperingkat sejak jam 4.50 petang tadi dengan bantuan bomba. Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Sementara itu, laporan Bernama dipetik berkata, polis mengesahkan mangsa sebenar kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo hanya melibatkan enam pekerja binaan warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob berkata, pada mulanya, pihaknya mendapat maklumat terdapat lapan pekerja terperangkap dalam kejadian itu tetapi kemudian dimaklumkan rakan sekerja mereka dikenali sebagai Supardi bahawa hanya enam mangsa yang terlibat.

Mangsa terakhir dikenali sebagai Kasmuji berjaya diselamatkan pada 10.15 malam dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Dalam kejadian petang tadi, seorang buruh binaan yang dikenali sebagai Totok Mochamad Anthony maut.

Mayat mangsa dikeluarkan pasukan penyelamat kira-kira 6.24 petang dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat.

Empat lagi pekerja binaan berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Ghadami, yang putus kaki kanan, turut dihantar ke hospital itu.

Polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada kira-kira 4.29 petang berhubung kejadian di banglo No. 15, Jalan Jed 7/5A, Seksyen 7, milik seorang ahli perniagaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Othman Abdullah berkata, operasi menyelamat dihentikan pada 10.45 malam selepas mangsa keenam dibawa keluar dari runtuhan.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan kren dengan kekuatan 40 tan bagi mengangkat runtuhan konkrit selain membuat terowong secara manual untuk menyalur bantuan gas oksigen kepada mangsa terakhir sebelum dibawa keluar.

"Konkrit agak berat termasuk dengan timbunan batu dan bomba terpaksa memotong beberapa bahagian runtuhan dalam keadaan sempit, kren pertama yang kita gunakan ialah bagi kekuatan 10 tan dan tidak membantu," katanya.

Beliau berkata, pihak bomba memanggil mangsa namun tidak disahut dan tiada sebarang tindak balas bagi mengesahkan masih ada yang terperangkap di bawah runtuhan itu.

Othman juga berkata, kerja pembersihan di kawasan runtuhan itu akan diteruskan sepanjang malam ini.

Operasi menyelamat, yang bermula kira-kira 5 petang, diteruskan walaupun hujan lebat bermula 9 malam.

Selain itu, khidmat anjing pengesan Unit K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor digunakan sepanjang operasi tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ketika kejadian beliau sedang membaca akhbar dan mendengar bunyi dentuman kuat dari arah depan rumahnya.

“Mula-mula saya lihat tidak serius, hanya debu sahaja kelihatan. Tetapi setelah melihat bumbung rumah tersebut runtuh.

“Saya terus hubungi bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk maklumkan kejadian,” katanya ketika ditemui  di lokasi kejadian.