MELAKA - Kerajaan negeri Melaka meminta semua sekolah di negeri ini menghentikan aktiviti luar bilik darjah buat sementara waktu berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mencatat tahap tidak sihat.
   
Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron berkata langkah itu bertujuan mengelak pelajar terdedah kepada pencemaran udara yang mampu mengundang pelbagai penyakit, termasuk gangguan sistem pernafasan.
   
Beliau berkata sehingga 5 petang tadi, IPU di kawasan bandaraya Melaka serta Bukit Rambai masing-masing mencatat bacaan 161 dan 118.
   
"Indeks ini adalah amat tinggi dan kita khuatir ia akan terus mencatat bacaan sehingga 200, iaitu pada tahap kualiti udara yang amat tidak sihat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dan mendengar taklimat Jabatan Alam Sekitar (JAS) di sini hari ini.
   
Beliau berkata berdasarkan taklimat JAS, pencemaran udara di Melaka mengganggu penglihatan pandangan sehingga 10 kilometer serta mengandungi bau kurang menyenangkan seperti bahan terbakar yang boleh mengganggu sistem pernafasan penduduk.

Beliau berkata pihak sekolah juga diminta menggalakkan pelajar memakai penutup muka sebagai langkah keselamatan bagi mengurangkan risiko akibat terdedah kepada pencemaran udara.
   
Idris juga berkata satu pelan kecemasan juga sedang dirangka sebagai persediaan sekiranya bacaan IPU terus meningkat.
   
Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri Melaka akan menerbitkan peta yang memaparkan destinasi pelancongan menarik di negeri ini bagi memudahkan pergerakan pelancong melawat semua lokasi itu.
   
Idris berkata peta bersaiz A3 yang dijual pada harga RM5 sekeping itu dijangka berada di pasaran dalam tempoh sebulan lagi, atau boleh dimuat turun di laman sesawang kerajaan negeri Melaka www.melaka.gov.my.
   
Beliau berkata peta itu akan menggunakan sistem bintang bagi memaklumkan kepada pelancong destinasi yang harus dipilih mereka sepanjang berada di Melaka. - Bernama