JOHOR BAHRU - Penganjur Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMRACE) 2016 membuat keputusan menghentikan perlumbaan dan membatalkan pertandingan tersebut susulan insiden kemalangan yang membabitkan dua buah jentera perlumbaan itu yang mengakibatkan dua penonton maut dalam kejadian tersebut.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu di Indera Mahkota itu, kemalangan melibatkan dua buah jentera kategori 131cc menyebabkan dua penonton terbunuh.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Wahid Omar berkata, beberapa langkah keselamatan yang sewajarnya telah diambil penganjur menepati saranan Motorsports Association of Malaysia (MAM), badan yang menguruskan sukan permotoran di Malaysia.

"Penganjur telah mengambil langkah keselamatan yang perlu bagi mengelakkan kemalangan yang melibatkan penonton dengan meletakkan penghadang air (water barrier), pita keselamatan dan menempatkan anggota keselamatan.

"Ekoran insiden tidak diingini itu, penganjur mengambil keputusan menghentikan perlumbaan dan membatalkan pertandingan," katanya dalam satu kenyataan.

Wahid berkata perlumbaan di litar terbuka tersebut diperakukan selamat oleh MAM untuk perlumbaan berkenaan yang disertai oleh 51 buah pasukan dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dua beranak maut dirempuh go-kart]

[ARTIKEL BERKAITAN: Lokasi kejadian adalah kawasan larangan]

EIMARACE 2016 adalah perlumbaan kenderaan empat lejang yang diubahsuai membabitkan enjin 131cc dan 250cc mula dipertandingkan pada tahun 2009 di litar lumba Datuk Sagor, Kampung Gajah, Perak.

EIMARACE juga pernah dipertandingkan di Bakri, Muar, Johor sebelum kembali semula ke Litar Datuk Sagor, Perak.

Sejak awal pertandingan UTM telah diberi penghormatan untuk mengendalikan pertandingan berkenaan termasuk aspek teknikal, keselamatan, pemilihan gelanggang dan mendapatkan kelulusan dari MAM.

Bermula 2015 EIMARACE telah dibawa ke Pahang dengan kerjasama kerajaan negeri bagi mempromosi Tahun Melawat Pahang 2017 dan dipertandingkan di Indera Mahkota.

"Kami melahirkan rasa dukacita berikutan kejadian yang meragut nyawa penonton dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni) Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz telah melawat mangsa di Kuantan petang tadi.