KUALA LUMPUR - Lelaki warga Indonesia ditemui mati dengan kesan tetakan dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan di Wangsa Maju, dekat sini, malam tadi.

Mayat lelaki itu ditemui oleh orang awam kira-kira jam 10.50 malam sebelum memaklumkan kepada polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan awal dapati mangsa berusia 41 tahun itu mati ditetak dengan menggunakan senjata di bahagian kepada dan tangan.

“Pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah dihubungi dan tiba di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan pada mayat mangsa dapati terdapat dua kesan tetakan pada bahagian belakang kepala, dua tetakan di belakang badan dan satu tetakan di pergelangan tangan kanan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.