PUTRAJAYA - Dilema bekas aktivis sosial dan politik, Dr Kassim Ahmad yang berkemungkinan berdepan dakwaan di Mahkamah Syariah kerana dikatakan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama akan berakhir.

Ini berikutan kerajaan dan pihak berkuasa Islam tidak dapat meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang membuat keputusan menyebelahi Kassim, selepas mereka gagal mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan hari ini.

Pada 21 Disember 2015 Mahkamah Rayuan memutuskan penahanan dan pendakwaan ke atas Kassim kerana dikatakan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama, adalah tidak sah.

Hari ini, tiga panel hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum sebulat suara menolak permohonan kebenaran untuk merayu oleh kerajaan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan ketika itu.

Beliau memerintahkan para pemohon membayar kos RM20,000 kepada Kassim. Turut bersidang bersama Hakim Malanjum ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali dan Datuk Balia Yusof Wahi.

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili para pemohon mengemukakan dua persoalan perundangan untuk dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan.

Namun peguam Rosli Dahlan yang mewakili Kassim, memberitahu mahkamah, persoalan itu berkaitan dengan isu bidang kuasa yang telahpun diputuskan mahkamah rayuan.

Selepas keputusan mahkamah itu, Rosli memberitahu pemberita bahawa Kassim masih belum bebas lagi memandangkan dia perlu pergi ke Mahkamah Syariah untuk memohon pertuduhan ke atasnya diketepikan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini.

Kes Kassim di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya ditetapkan untuk sebutan pada 7 Ogos.

Kassim, 82, didakwa atas tiga pertuduhan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya pada 27 Mac, 2014.

Beliau kemudiannya memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi sivil bagi mendapatkan perisytiharan, antara lain bahawa Jawi telah bertindak di luar bidang kuasa di bawah undang-undang agama Islam negeri dan Perlembagaan Persekutuan apabila ia mendakwa dan menahan beliau.

Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Kassim, mengubah keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakimannya.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa penahanan Kassim pada 26 Mac, 2014, di rumahnya di Taman Kulim Perdana, Kulim, Kedah adalah menyalahi undang-undang kerana ia tidak mengikut Enakmen Syariah Kedah.

Mahkamah Rayuan juga memutuskan Kassim, yang bermastautin di Kedah, tidak tertakluk kepada fatwa Mahkamah Persekutuan memandangkan dia tidak ditangkap di Wilayah Persekutuan.

Dr Kassim tidak hadir di mahkamah semasa prosiding hari ini. - Bernama