SHAH ALAM - Amerika Syarikat (AS) memulakan siasatan jenayah terhadap wang yang didakwa dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bloomberg melaporkan, dalam permohonan mahkamah oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) AS, Khamis lalu, negara itu kini meningkatkan siasatan di seluruh dunia untuk mengesan wang 1MDB yang digunakan untuk membeli hartanah mewah di New York, London dan Beverly Hills, produksi filem, jet peribadi, kapal layar dan banyak lagi.

Pegawai DOJ juga memohon seorang hakim di Los Angeles menangguhkan sementara saman sivilnya bagi merampas aset diperoleh ahli perniagaan kelahiran Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low.

Penangguhan itu kerana dikhuatiri  menjejaskan usaha siasatan  terhadap 1MDB.

Ejen FBI dalam satu pengisytiharan mahkamah, memberi amaran bahawa maklumat didedahkan dalam saman sivil itu boleh mendedahkan ‘sasaran dan subjek penyiasatan dan teknik siasatan yang telah dan akan digunakan dalam siasatan’.

“Pendedahan itu boleh menyebabkan pemusnahan bukti, melarikan subjek dan sasaran  berpotensi atau mengenal pasti dan menakut-nakutkan saksi berpotensi,” menurut pengisytiharan ejen itu.

Siasatan AS adalah sebahagian  usaha global menjejaki wang 1MDB yang didakwa diseleweng. Selain AS, negara lain terlibat ialah Switzerland, Singapura dan Luxembourg.

DOJ memfailkan saman sivilnya tiga kali iaitu  tahun ini dan tahun lalu.

Pemfailan pertama bagi pelucuthakan aset bernilai AS$1 bilion dengan penyiasat AS berkata, rakyat Malaysia telah ditipu pada skala besar-besaran.

Ketika itu, lebih AS$3 bilion didakwa diselewengkan daripada 1MDB dan berusaha untuk merampas kira-kira AS$1 bilion aset haram.