GEORGETOWN - Seramai 11 lelaki direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menyamar sebagai anggota kerabat diraja Kedah ketika menghadiri satu majlis di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan mengeluarkan perintah berkenaan ke atas 11 lelaki berusia antara 38 tahun hingga 61 tahun itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan kes berkenaan.

Mereka tiba di mahkamah dengan kenderaan polis kira-kira jam 2 petang sebelum dibawa masuk ke bilik reman mahkamah untuk mendapatkan perintah berkenaan.

Semalam, sepasukan anggota polis menyerbu dan menahan seorang lelaki yang mengaku sebagai kerabat diraja Kedah,ketikamengadakan perhimpunan pelantikan ahli majlis sebuah pertubuhan di sebuah hotel di sini.

Dalam serbuan jam 4 petang itu, polis turut menahan 12 lagi individu dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan itu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, polis melakukan serbuan hasil maklumat orang ramai yang curiga dan mahu memastikan kesahihan dakwaan dibuat suspek.

Majlis pentauliahan dan pelantikan yang sepatutnya di bawah naungan sebuah pertubuhan amal Islam itu didapati turut dihadiri kaum lain, menimbulkan keraguan kerana perjumpaan diadakan bersama beberapa pemilik kelab malam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 419 kanun sama kerana menyamar dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan kerana mempunyai logo tidak dibenarkan.