KISAH keindahan kawasan peranginan Tasik Kenyir yang terhasil daripada Empangan Hidroelektrik Sultan Mahmud, Hulu Terengganu di sini sejak sekian lama menarik perhatian pengunjung dari dalam dan luar negara khususnya dalam kalangan kaki pancing dan pencinta alam semula jadi.

Suasana damai dan pemandangan tasik buatan manusia yang luas saujana mata memandang itu saban hari boleh dikunjungi pelawat dengan menyusurinya menerusi perkhidmatan 'house boat' (rumah bot) atau 'speed boat' (bot laju).

Sekumpulan 30 anak muda berusia 20 hingga 35 tahun daripada Kelab Eksplorasi Jerangau Barat, Ajil, Hulu Terengganu turut tidak mahu ketinggalan mengabadikan kenangan indah di tasik itu dengan cara tersendiri apabila mengangkatnya sebagai lokasi 'rumah terbuka Aidilfitri' kelab itu baru-baru ini.

"Pada kebiasaannya orang buat rumah terbuka Aidilfitri di kediaman masing-masing atau premis-premis kekal seperti di dewan, taman awam ataupun hotel sebab ia memudahkan tetamu, sanak saudara dan rakan taulan hadir memeriahkan undangan.

"Tapi dengan menyusuri Tasik Kenyir kita terapkan unsur 'outdoor' dalam meraikan sambutan hari raya dan ini sebenarnya mampu mewujudkan satu suasana yang cukup menarik bukan sahaja dalam kalangan peminat aktiviti luar malah ada rakan kami yang lain turut berminat menyertai program ini.

"Ia bukan sahaja satu cara untuk mengeratkan silaturahim, tetapi anggota kelab kami daripada pelbagai latar belakang dapat mengenali khazanah alam yang terdapat di sekitar Tasik Kenyir seperti Santuari Kelah Lubuk Kejor, Air Terjun Lasir dan Gua Bewah," kata Presiden kelab, Mohamad Hanif Mat Rasat kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya selain melakukan aktiviti 'caving' di Gua Bewah, mereka turut dibawa oleh jurupandu mandi-manda di Air Terjun Lasir dan Jeram Sungai Cacing, yang mengambil masa kira-kira empat jam perjalanan dari Jeti Pengkalan Gawi.

Nik Musfirah Filzah Nik Man, 27, berkata selain sambutan hari raya di atas house bot, pengalaman ‘dicium' kawanan ikan kelah di Santuari Kelah Lubuk Kejor satu daripada pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.

"Saya dibesarkan di Kuala Lumpur dan peluang untuk masuk ke kawasan sebegini jarang diperoleh. Justeru ketika dikerumuni ikan-ikan jinak semasa memberi mereka palet (makanan ikan) di Lubuk Kejor satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

"Meskipun saya jenis 'penggeli' tetapi melihat aksi ikan-ikan itu membuatkan saya seakan-akan berada di alam fantasi dan membuatkan masa bersama-sama ikan yang diperuntukkan selama 30 minit berlalu sekelip mata, memang tidak puas, rasa macam nak pergi lagi, " kata jururawat di sebuah klinik kesihatan kerajaan itu.

Bagi yang menaiki bot laju dari Pangkalan Gawi, jarak perjalanan mengambil masa kira-kira sejam setengah dan apabila sampai di Pos Kawalan Santuari Kelah satu taklimat ringkas akan diberikan.

Taklimat itu menyentuh mengenai perkara yang tidak boleh dilakukan sepanjang perjalanan dan ketika berada bersama ikan, antaranya dilarang merokok, memusnahkan tumbuhan dan mengganggu ikan. Selesai taklimat, pengunjung dibawa menaiki bot ke Hentian 1 yang mengambil masa kurang sepuluh minit.

Pengunjung kemudian perlu berjalan kaki sejauh 1.7 kilometer merentasi trek khas dan jambatan gantung sebelum sampai ke Lubuk Kejor. Di situ pengunjung dibenarkan bermain dengan pelbagai jenis ikan sungai seperti kelah, kelah merah, lampam dan tengas.

Kawasan seluas 407 hektar ini dibangunkan dan diselia oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah). Tujuan utama santuari ini dibangunkan adalah sebagai antara usaha pemuliharaan spesies ikan kelah yang semakin terancam selain mempromosi aktiviti rekreasi sebagai galakan tarikan pelancongan di Tasik Kenyir.

Harga tiket untuk ke santuari kelah itu dijual pada harga RM10 untuk dewasa, RM5 untuk kanak-kanak dan RM15 untuk warga asing. Waktu operasinya pula dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari. - Bernama