PERSATUAN Advokasi Kanser Malaysia (Empowered) menjalankan Projek Kesedaran, , Saringan & Rawatan Barah Usus Besar 2015 (CCAST). Projek ini dimulakan sejak Februari lalu, dan acara pelancaran ditetapkan pada 19 April depan di mana lokasi pilihan Empowered adalah di Projek Perumahan Rakyat Hiliran Ampang.

4 Fasa Projek Kesedaran, Saringan & Rawatan Barah Usus Besar 2015 oleh Empowered.

Fasa 1 – Pra- Pemilihan & Bengkel Kesedaran

Pra-Pemilihan
- Empowered mengenalpasti komuniti miskin untuk diberikan perkhidmatan untuk tahun berkenaan.
- Empowered bekerjasama dengan ketua-ketua komuniti untuk menjalankan kajian demografik yang bertujuan untuk mengenalpasti bilangan individu yang menghadapi risiko mengidap kanser usus besar dalam komuniti sasaran.

Bengkel Kesedaran
- Bengkel kesedaran akan dijalankan untuk meninggikan tahap kesedaran tentang barah usus besar melalui sesi pendidikan tentang barah usus besar, pemakanan dan corak kehidupan yang sihat.


Fasa 2 – Bengkel Saringan

- Bengkel saringan akan dijalankan dalam Bahasa Malaysia. Penduduk-penduduk komuniti akan didaftarkan dan diajar bagaimana untuk menggunakan alat ujian faecal immunohistochemical (FIT).


Fasa 3 – Kutipan Alat-Alat Ujian FIT yang Sudah Digunakan

Kutipan Sampel Najis Di Rumah
- Penduduk-penduduk komuniti diberi 2 hari untuk mengutip sampel najis mereka dengan menggunakan alat FIT di rumah.
Kutipan Alat FIT
- Alat-alat FIT yang telah digunakan akan di kembalikan oleh penduduk-penduduk yang terlibat di stesen lokasi yang ditetapkan dalam komuniti mereka.
- Alat-alat FIT akan dikutip dan dihantar ke hospital untuk pemprosesan. Hospital tersebut merupakan rakan kerjasama projek ini.


Fasa 4 – Program Sokongan Pesakit

Kaunseling
- Jururarawat sukarelawan kami akan menyampaikan berita kepada penduduk-penduduk yang terlibat, di dalam rumah mereka sendiri tentang penemuan darah di dalam najis mereka.
- Temujanji di hospital untuk kolonoskopi akan diuruskan untuk penduduk-penduduk ini.


Kos-Kos Pengangkutan dan Rawatan Hospital

- Bagi penduduk-penduduk komuniti yang mempunyai darah dalam najis, EMPOWERED akan menguruskan pengangkutandari rumah mereka sendiri untuk menghadiri setiap temujanji hospital.

- Sokongan peribadi oleh jurawat terlatih dan pelajar perubatan sukarelawan akan diberikan sepanjang perjalanan perubatan mereka, dari diagnosis sampai ke penghujung rawatan kanser.

- Pelajar perubatan sukarelawan kami akan mengingatkan penduduk-penduduk komuniti tentang setiap temujanji di hospital 1 atau 2 hari sebelum temujanji tersebut.

- Sistem sokongan yang terperinci ini dicipta untuk memberikan sokongan emosi dan moral yang menyeluruh untuk mempastikan agar benefisiari-benefisiari kami akan menyusuli penuh perjalanan perubatan mereka.

- Semua kos-kos penting berkaitan dengan ujian perubatan dan rawatan akan ditanggung oleh EMPOWERED.

Dr Christina Ng Van Tze, MBBS (Melb) FRACP (Aus)
Pakar Runding Onkologi
Persatuan Advokasi Kanser Malaysia (Empowered)



Diagnosa usus anda!

Usus besar terdiri daripada kolon dan rektum yang memainkan peranan penting dalam proses pembuangan najis. Lima hingga enam kaki pertama usus besar adalah kolon dan rektum adalah enam inci panjang yang berakhir di dubur.

Kanser kolon dan rektum adalah salah satu daripada kanser yang kerap berlaku di dunia. Pengesanan awal amat penting bagi membolehkan pembuangan polip dengan segera.

Ada beberapa ujian yang perlu dilakukan untuk membuat diagnosa kanser kolon dan rektum serta untuk mengesan sama ada berlaku perebakan ke organ lain.

1) Sigmoidoskopi/ kolonoskopi

Tiub dimasukkan untuk melihat polip/ketumbuhan di dalam kolon dan rektum. Jika ada polip akan dibuang.

2) Biopsi
Pengambilan sedikit tisu di usus untuk pemeriksaan di bawah mikroskop, diambil semasa kolonoskopi atau semasa pembedahan.

3) Ujian darah
Kesan kurang darah akibat kerap berlaku perdarahan ke dalam usus yang boleh menyebabkan penyakit kurang darah.

4) Ujian imejan
CT scan - kesan perebakan kanser ke paru-paru, hati dan organ lain.
Ultrasound - prosedur menggunakan gelombang bunyi untuk hasilkan imej jika kanser telah merebak ke hati, atau organ lain.
X-ray - untuk kesan perebakan ke paru-paru.

Tahap kanser adalah cara menerangkan tentang situasi kanser contoh lokasi, perebakan dan adakah ia melibatkan fungsi organ lain. Dengan mengetahui tahap, ia memberi panduan kepada doktor untuk menentukan rawatan dan meramalkan peluang untuk sembuh.

Tahap I : Kanser terletak di lapisan dalam usus atau dubur
Tahap II: Kanser merebak melalui dinding usus atau dubur
Tahap III: Kanser merebak ke nodus limfa berhampiran
Tahap IV: Kanser merebak ke bahagian badan yang jauh seperti hati dan paru-paru.

Rawatan yang kerap dilakukan. sebahagian daripada kolon dan rektum yang sihat dan nodus limfa juga akan dibuang. Sebahagian kecil pesakit perlu kolostomi (sebahagian usus dibawa keluar untuk pengeluaran najis) sama ada sementara atau kekal. Kesan sampingan pembedahan adalah rasa sakit, sakit bila disentuh, sembelit atau cirit-birit tetapi buat sementara waktu sahaja.
Sumber: www.myhealth.gov.my


Potong usus 15 sentimeter

Setiap kali mahu membuang air besar saya akan berasa sakit dan pedih. Saya memang menghidap buasir dan sembelit dan ada ketikanya saya mengalami pendarahan sewaktu membuang air besar.

Untuk pengetahuan setiap kali saya ke klinik doktor hanya akan membekalkan saya ubat tahan sakit dan ubat pelembut najis. Disebabkan itu, saya tidak lagi ke klinik sebaliknya mengamalkan minum jus mangga supaya najis saya lebih lembut dan saya dapat mengelak dari pendarahan.

Selama lebih kurang lima tahun saya menyimpan penderitaan akhirnya suatu hari kerana tidak tahan saya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital. Saya ceritakan kepada doktor apa yang saya lalui. Saya juga berithau mengenai bapa saya yang juga mengalami masalah yang sama.

Doktor mencadangkan saya membuat ujian colonoscopy dan saya disahkan menghidap kanser tahap dua. Ketika itu hanya ALLAH sahaja yang tahu kerana ada banyak perkara dalam hidup say ayang belum selesai. Saya terkenangkan nasib lima anak saya. Saya juga terfikirkan diri sendiri yang belum sempat menunaikan haji dan macam-macam lagi impian yang tidak tertunai.

Saya menangis dan sentiasa membuat solat sunat hajat memohon daripada ALLAH agar dipermudahkan urusan. Daripada membuat rawatan ke hospital swasta saya berpindah ke hospital kerajaan. Kos pembedahan menelan belanja sehingga RM20,000 ketika itu berbanding di hospital kerajaan.

Namun apa yang saya boleh katakan, jika ditimpa musibah kembalilah kita kepada ALLAH. Mengadulah kepadaNYA. InsyaALLAH DIA Maha Mendengar.

Sepanjang 15 sentimeter usus besar saya dipotong. Alhamdulillah kesan pembedahan itu tidak memerlukan saya menjalani kimoterapi. Saya hanya perlu membuat rawatan susulan selama tiga bulan. Ekoran kejadian itu saya ambil keputusan untuk pencen lebih awal dan menumpukan perhatian kepada keluarga dan suami.

Dapat saya kongsikan di sini kemungkinan penyakit say aberpunca dari diri sendiri yang tidak suka mengamalkan makanan berserat sejak dari muda.

Makanan berserat yang dimaksudkan adalah sayur-sayuran dan buah-buahan. Disebabkan itu saya ingin menjaga anak-anak saya mengenai kepentingan menjaga pemakanan. -Zuriah, 50, Kuala Lumpur.